Kit Siang tuduh Najib berucap seperti Hitler

Penasihat DAP, Lim Kit Siang boleh disifatkan tidak sedar diri kerana beliau yang selama ini bersikap diktator apabila menguasai DAP sejak 51 tahun lalu malah lebih terserlah sikap diktatornya itu apabila mahu menjadikan anaknya, Lim Guan Eng sebagai pelapis.

Kini, Kit Siang menuduh pula kononnya Presiden UMNO yang juga merangkap sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mencerminkan sikap seorang demokrat, sebaliknya mirip diktator.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata demikian ketika mengulas ucapan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, semalam.

“Dalam ucapan pembukaan di Perhimpunan Agung UMNO pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa beliau mahu UMNO terus memerintah negara ini, bukan untuk 30 tahun lagi, tapi untuk 1,000 tahun lagi.

“Ini bukanlah mentaliti seorang demokrat, sebaliknya mentaliti Maharaja atau yang mahu menjadi maharaja,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Malah, Kit Siang juga menuduh ucapan Najib itu kononnya seperti diktator Hitler yang pernah menghantui Jerman dan Eropah sewaktu perang dua kedua.

“Pengundi tidak akan gentar dengan kekacauan atau apa saja akibat yang mengerunkan jika mereka mengundi untuk perubahan kerajaan, malah mereka tidak gentar dengan mana-mana kerajaan yang berlagak kononnya mahu memerintah ‘seribu tahun lagi’.

“Pemerintahan Ketiga Nazi (Nazi Third Reich) yang dipimpin Hitler juga pernah mengimpikan untuk memerintah seribu tahun lagi tetapi akhirnya tersungkur selepas 12 tahun memerintah. Saya tertanya-tanya sama ada Najib akan mengelar Hitler sebagai demokrat,” katanya.

Kit Siang sebenarnya tidak memahami ucapan Najib itu. Najib menyatakan bahawa beliau mahu UMNO terus memerintah negara ini sebagai kerajaan, bukannya beliau mahukan dirinya jadi Perdana Menteri dan memerintah negara selama 1,000 tahun lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *