Melaka diiktiraf sediakan paling banyak rumah mampu milik

Laporan yang dikeluarkan The Edge Markets memaklumkan Melaka sekali lagi diiktiraf sebagai negeri yang paling banyak membina rumah mampu milik di negara ini.

Melaka telah membina rumah mampu milik dengan indeks 2.43 (nis­bah median harga rumah kepada pendapatan median tahunan isi rumah) dan rumah dibina tidak mampu milik pula banyak berada di Kuala Lumpur dengan indeks 6.88 dan Pulau Pinang pada 6.32.

Usaha kerajaan negeri itu membina lebih banyak rumah mampu milik dilihat sebagai daya usaha berterusan dan membantu hasrat kerajaan untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik di negara ini. Kesan positif itu telah berjaya menurun dari indeks 2.98 kepada 2.43 tahun ini.

Malah, kerjasama pihak awam dan swasta antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan pemaju perumahan Wawasan Intact Properties Sdn. Bhd. juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila 277 unit Rumah Mampu Milik (RMM) berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron memaklumkan, pencapaian Melaka dalam membina rumah mampu milik sangat membanggakan.

“Harga RMM ditetapkan tidak melebihi RM180,000 seunit de­ngan keluasan minimum 1,000 kaki per­segi dan mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air. Sehingga kini, pencapaian Melaka dalam sektor pembangunan perumahan sangat membanggakan.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa pe­ratus pemilikan rumah di Melaka ialah 84.4 peratus. Kadar pemilikan di negeri ini adalah lebih tinggi daripada kadar pemilikan di peringkat nasional pada kadar 76.1 peratus sahaja,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan negeri itu telah meluluskan dua projek rumah mampu milik membabitkan pembinaan 801 rumah di Krubong dan Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dengan harga di bawah RM180,000.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *