Nasi lemak berharga RM19 sebungkus di Korea

Nasi lemak merupakan makanan tradisi bagi Melayu dan merupakan kegemaran bagi orang Malaysia. Tidak sah rasanya kalau di pagi hari rakyat Malaysia tidak menjamah sebungkus nasi lemak.

Namun, kini nasi lemak bukan sahaja menjadi makanan kegemaran rakyat malaysia tetapi makanan itu juga sudah menjadi kesukaan orang ramai di Korea Selatan.

Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, 29, merupakan pengusaha nasi lemak di Korea Selatan mula mendapat idea untuk membuka perniagaan nasi lemak halal di negara itu selepas mula mendengar rungutan dari pelancong Malaysia yang sukar mencari makanan halal di sana.

Tetapi, tidak menyangka idea untuk menjual nasi lemak itu telah mendapat sambutan banyak pihak. Anak kelahiran Sabah itu memulakan perniagaannya dengan menghasilkan kurang 40 bungkus nasi lemak sehari.

“Di Korea Selatan tidak banyak makanan tepi jalan yang halal. Saya kemudian terinspirasi dengan idea kebanyakan rakyat Malaysia makan nasi lemak untuk sarapan, makan tengah hari, makan malam dan juga lewat malam.

“Disebabkan ia makanan tradisional terkenal Malaysia, saya bercadang dengan memulakan servis menghantar makanan. Saya pasarkan nasi lemak secara online, yang mana pelanggan boleh memesan pada sehari sebelumnya menerusi aplikasi WhatsApp atau KakaoTalk,” katanya.

Di awal perniagaan nasi lemak itu, Duzy hanya menerima pesanan dari pelancong dan pelajar Malaysia yang rindukan masakan tanah air. Tetapi, selepas dua bulan menjalankan perniagaan itu, Duzy mula menerima pelanggan daripada rakyat Korea Selatan yang menggemari makanan itu.

Duzy berjaya mengembangkan lagi perniagaannya dengan membuka sebuah kedai bernama ‘Nasi Lemak Berlauk Panas’ di atas bumbung bangunan milik Han Ji-Sung yang merupakan rakan kongsinya dan pemilik Pop @ Itaewon Guesthouse di Itaewon.

Nasi lemak itu dijual pada harga ₩5,000 won atau lebih kurang RM19 sambil dikelilingi permandangan bangunan tinggi di bandar tersebut.

“Untuk sambal lebih, telur, nasi dan tambahan lauk lain seperti sotong, kerang dan ayam, anda perlu menambah sebanyak 500 won ke 4,000 won (RM2-RM15),” katanya.

Malah, Duzy mendedahkan orang Korea Selatan menyukai nasi lemak kerana meraka samakan nasi lemak dengan makanan mereka bibimbap. Makanan bibimbap itu adalah makanan setiap hari mereka.

Kini, kedainya semakin dikenali dan menerima kunjungan oleh pelancong dari Belanda, Jepun, Indonesia, China dan Perancis.

Duzy mendapatkan bekalan barangan untuk memasak nasi lemak seperti ikan bilis, cili, belacan, asam jawa, santan dan daun pandan hanya di Pasar Noryangjin.

Walaupun begitu, Duzy berkata menjalankan perniagaan di Korea Selatan itu agak mencabar berikutan rakyat di sana sangat bekerja kuat. Oleh itu, Duzy perlu berkerja lebih kuat untuk bersaing dengan mereka.

“Menetap dan menjalankan bisnes di Korea Selatan ini agak mencabar. Rakyat Korea Selatan dan Jepun adalah antara individu yang kuat bekerja di dunia. Saya terpaksa bekerja keras untuk bersaing dengan mereka.

“Memang agak tertekan kadang-kadang tapi sangat berbaloi,” jelasnya.

Selain dari menjalankan perniagaan nasi lemak, Duzy juga telah menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong kepada rakyat Malaysia yang mahu melancong ke Korea Selatan.

Apapun, selamat maju jaya pada Duzy dalam memperkenalkan makanan popular tempatan itu pada orang luar. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *