Nilai Ringgit kini berada di paras terbaik tahun ini

Pergerakan ringgit menunjukkan perkembangan positif dengan mengukuh lebih 10 peratus sejak Januari lalu. Malah, ringgit dijangka boleh berada pada paras RM4 atau mencapai nilai saksama sekitar RM3.80 hingga RM4 berbanding dolar Amreika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad memaklumkan, banyak sebab yang mendorong kepada perkembangan positif ringgit ini terutamanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, aktiviti eksport masih berdaya saing dan aliran masuk duit yang merangsang pelaburan ke dalam negara.

“Ketika ini ringgit berada da­lam keadaan yang cukup baik, cuma ia akan berlegar pada paras RM4 sahaja atau mungkin me­ngukuh sedikit sekitar RM3.90 berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, saya melihat ada peluang untuk ringgit berlegar di bawah RM4 sekiranya disokong penunjuk ekonomi yang positif. Tetapi keadaan secara dasarnya sukar dijangka kerana pasaran masih lagi tidak menentu.

“Sekiranya boleh men­­cecah di bawah RM4, sudah tentu ini masa yang bagus untuk membuat pelaburan terutama di luar negara,” katanya.

Untuk meningkatkan portfolio pelaburan di luar negara, KWAP dilaporkan mahu membuat pelaburan pada kadar 15 peratus berbanding sebelum ini hanya 12 peratus. Strategi peruntukan aset itu akan disemak mulai tahun depan.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyuarakan hasrat sama tetapi masih menunggu masa yang sesuai dengan mengambil kira kedudukan ringgit. Setakat ini PNB mempunyai dua peratus pelaburan di luar negara dan 98 peratus di dalam negara.

Firma penyelidikan, MIDF Research menjangkakan dagangan luar dan aktiviti industri bagi suku terakhir 2017 kekal kukuh di sebalik peningkatakn harga komoditi dan momentum yang mantap bagi perminataan global.

“Berdasarkan IHS Markit, permintaan kukuh dari dalam dan luar negara akan menjadi kunci utama yang merangsang sektor pembuatan. Di sebalik tekanan inflasi, kami berpendapat peningkatan harga komoditi adalah rahmat bagi sektor pembuatan Malaysia terutama industri berasaskan petroleum.

“Ini sekali gus akan mendorong kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pengeluaran Nikkei melebihi 50 mata, bukan sahaja Malaysia tetapi Indonesia, AS, Kesatuan Eropah, China dan Jepun. Faktor ini juga yang mendorong pengukuhan ringgit awal minggu ini,” jelasnya.

Nilai ringgit ini bukti kerajaan tetap berupaya mencapai banyak kejayaan meskipun berdepan cabaran seperti ketidaktentuan pasaran antarabangsa, kejatuhan harga minyak, sehinggalah kepada tindakan mensabotaj ekonomi dan memburuk-burukkan negara oleh pihak pembangkang. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *