Pembangkang langsung tak tahu bagaimana mahu mentadbir negara

Pembangkang sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu mentadbir negara, mereka hanya tahu memberi harapan palsu untuk memenangi undi, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas janji-janji Pakatan Harapan yang mahu memberikan pendidikan percuma, pemansuhan tol dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika mereka berjaya merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Khairy berkata, janji manis pakatan pembangkang itu jika dilaksanakan akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Kalau janji manis sangat sampai boleh dapat kencing manis, ada dua sahaja kemungkinan.

“Pertama, kita terpaksa naikkan segala jenis cukai seperti mana negara Scandinavia yang rakyatnya membayar cukai pendapatan lebih 50 peratus dan kadar GSTnya lebih 20 peratus.

“Kedua, negara kita bankrap sebab hutang tak terbayar,” kata Khairy pada Perhimpunan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Dalam pada itu, beliau juga membidas pakatan pembangkang yang mengatakan mampu menjimatkan RM20 bilion dengan memerangi rasuah.

Beliau merujuk kepada kes pembelian banglo yang melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pemilikan rumah ‘Disneyland’ melibatkan Ketua Pemuda PKR Ampang dann penjualan pasir di Selangor sebagai contoh.

“Bukankah itu semua ketirisan? Macam mana mereka nak jimat RM20 bilion setahun kalau diperingkat kerajaan negeri pun tiris tak sudah-sudah?,” bidas Khairy. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *