Pemuda PPBM bidas pendirian wakil DAP dalam isu pelajar solat

Pendirian Datuk Zaid Ibrahim dalam isu pelajar solat berjemaah jelas menunjukkan beliau tidak faham mengenai peranan solat dalam kehidupan seharian manusia, bidas Exco Pendidikan Pemuda PPBM, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid yang senada dengan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang mengkritik usaha dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Katanya, dalam subjek Pendidikan Islam di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah kurikulum Pendidikan Islam memperuntukkan waktu khusus untuk aktiviti amali solat bagi membolehkan murid-murid menghayati atau mengamalkan ilmu yang dipelajari khususnya solat fardhu.

“Saya sedar bahawa pelaksanaan yang mewajibkan pelajar menunaikan solat ini juga sedikitpun tidak bercanggah dengan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan, dan ini jelas sepertimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Baru-baru ini, Zaid mengeluarkan kenyataan biadap dengan mendakwa mewajibkan solat jemaah kepada pelajar adalah tindakan bodoh dan membebankan.

Zaid berkata demikian ketika mengulas tindakan pegawai pendidikan daerah di Pahang yang mengarahkan sekolah di Kuantan mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Merujuk kenyataan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar yang dipetik Bernama berkata, solat antara salah satu pengisian utama pihaknya membina perwatakan warga sekolah, khasnya di kalangan pelajar.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf berkata pendirian yang dinyatakan Zaid dan Datin Noor Azimah itu jelas bertentangan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Laporan itu juga turut dipetik bahawa Zaid Ibrahim menyatakan bahawa solat adalah suatu ritual yang membebankan.

“Pernyataan solat selaku ritual itu jelas menunjukkan Zaid Ibrahim tidak faham mengenai peranan solat dalam kehidupan seharian manusia.

“Beliau turut mengatakan “Ritual ini tidak dapat membantu pelajar Melayu menjadi lebih berpendidikan, memahami tanggungjawab peribadi atau lebih berdisiplin.” maka dengan itu saya menyangkal sama sekali dakwaan ini.

“Saya tidak pasti ‘nas’ atau hujah apa yang dipegang oleh Datuk Zaid, hari ini permasalahan disiplin di sekolah sepertimana yang pernah dilaporkan media berdasarkan laporan KPM bahawa terdapat 402 buah sekolah di seluruh Malaysia dikategorikan sebagai sekolah ‘Hotspot’, mempunyai masalah yang teruk dari segi disiplin dan 91 (buah sekolah) dari jumlah itu mempunyai masalah dadah dalam kalangan pelajar malah seawal usia 12 tahun,” katanya.

Tambah Mohd Ashraf, semua berlaku kerana kegagalan ‘sistem’ yang merupakan saling-kait peranan dari institusi keluarga, pendidikan, masyarakat dan kerajaan itu sendiri.

“Dalam kesibukan peranan dari rumah yang tidak mampu dimainkan, maka ianya suatu inisiatif yang baik dilakukan oleh sekolah atau kementerian bagi memastikan nilai yang baik dapat diterapkan melalui pendidikan agama atau moral.

“Semestinya agama mempunyai ruang yang cukup instrumental dalam membentuk sahsiah dan akhlak melalui pendidikan nilai. Pendidikan nilai yang kononnya diperkatakan oleh Zaid Ibrahim perlu diajarkan semuanya terdapat dalam ‘disiplin solat’ atau disiplin beragama. Sepertimana firman Allah SWT, dalam surat al-Ankabut [29]: 45;

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu Al Qur’an dan dirikanlah solat. Sesungguhnya s0lat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

“Terlalu banyak nilai yang diajar dalam agama, khususnya agama Islam. Di sekolah, dalam sehari-hari anak-anak merasakan jatuh bangun membina disiplin mengejar intelektualisme dan akademik, santapan rohani melalui solat sebagai contoh mampu membina kemantapan nilai secara holistik malah nilai yang baik dalam beragama mampu memberikan suatu nilai tambah dalam sudut mengawal emosi (kesabaran) dalam usaha memperoleh kejayaan,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *