Penduduk Korea Utara dakwa diserang sejenis penyakit misteri

SEOUL – Beberapa penduduk Korea Utara yang bertindak melarikan diri dari negara itu berkongsi cerita mengenai penderitaan baharu yang mereka hadapi ketika ini.

Portal news.com.au melaporkan, kebanyakan daripada mereka mendakwa diserang sejenis ‘penyakit misteri’ yang dipercayai berpunca daripada sinaran radiasi yang terdedah susulan ujian senjata nuklear di sana.

Seorang penduduk, Lee Jeong-hwa memberitahu NBC News, dia mengambil masa tujuh tahun sebelum berjaya melarikan diri dari negara komunis itu pada 2010.

Jelas wanita pertengahan usia itu, dia bagaimanapun mende­rita akibat ‘penyakit’ berkenaan.

Bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il sebelum ini dilaporkan telah melancarkan dua ujian nuklear di tapak ujian Punggye-ri manakala anak lelakinya yang juga pemimpin negara itu ketika ini, Kim Jong-un didakwa turut melancarkan empat lagi ujian yang sama.

Dalam pada itu Jeong-hwa juga mendedahkan, ramai penduduk Korea Utara yang me­larikan diri mati disebabkan ‘pe­nyakit misteri’.

“Pada mulanya, kami me­nyangka akan mati disebabkan kemiskinan atau menghadapi masalah kekurangan makanan. Bagaimanapun, kini kami tahu masalah ini sebenarnya berpunca daripada radiasi yang dihadapi selama ini,” katanya.

Di sebalik dakwaan Jeong-hwa serta pelarian-pelarian Korea Utara yang lain, Kementerian Penyatuan Korea Selatan tidak menemukan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan mereka.

Perkara itu didedahkan selepas ujian dilakukan terhadap 30 orang ‘bekas’ penduduk negara komunis itu susulan pencemaran bahan radiasi tersebut.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *