Perancang utama penipuan ahli kelab elit mengaku bersalah

Singapura: Perancang utama penipuan pendaftaran ahli sebuah kelab elit di Singapura membabitkan kerugian berjuta-juta dolar mengaku bersalah di mahkamah semalam.

Setho Oi Lin atau dikenali sebagai Setho Irene, 70, menipu 1,341 individu untuk membayar yuran berjumlah S$37.5 juta (RM113 juta) untuk keahlian palsu Kelab Keppel.

Kelab Keppel adalah sebuah kelab elit di Singapura yang ditubuhkan pada 1904 dan mempunyai keahlian terhad.

Akhbar Straits Times melaporkan, wanita itu yang kini berkerusi roda mengaku salah atas 60 tuduhan menipu dan mahkamah mempertimbangkan 3,121 lagi tuduhan terhadapnya.

Siasatan mendapati Setho yang bekerja di kelab itu sejak 1966 dan menjawat jawatan penolong peribadi pengarah urusan.

Dua rakan jenayah Setho iaitu penyelia jabatan keahlian, Nah Hak Chuah, 67, dan seorang ahli kelab, Ivy Cheo Soh Chin, 67, juga mengaku salah sebelum ini.

Setho mula menjual keahlian palsu kelab itu kepada individu yang berminat dengan mendakwa ada ahli yang mahu memindahkan keahliannya.

Pendakwa raya memberitahu, mangsa yang membeli keahlian palsu itu boleh masuk dan menggunakan kemudahan di dalam kelab kerana diberi kad keahlian serta nama mereka dimasukkan ke dalam sistem.

Kelab itu membuat laporan polis pada Ogos 2014 dengan mendakwa Setho menipu ahli baru dengan membeli keahlian palsu dan meminta mereka membayar kepada pihak ketiga.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *