Polis berjaya tahan 146 dalang sindiket penipuan Macau Scam

Sindiket Macau Scam dan perjudian online telah berjaya ditumpaskan dalam serbuan besar-besaran di jalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Seramai 146 individu disyaki terlibat sindiket penipuan itu telah ditahan dengan jumlah kerugian dianggarkan RM13 juta.

Serbuan telah dijalankan hasil maklumat dan risikan di sembilan lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan 71 suspek dan 75 lagi suspek ditahan di wilayah China iaitu Guangdong serta Yunnan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit (JSJK) Aman Datuk Amar Singh Ishar Singh memaklumkan penahanan kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 45 tahun itu adalah hasil kerjasama JSJK dengan polis China.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket Macau Scam itu telah beroperasi sejak enam bulan lalu di Malaysia dan China.

Modus operandi Macau Scam ini adalah menghubungi mangsanya secara rawak menggunakan sistem Voice Over Internet Protocol (VOIP) dengan mengatakan akaun bank atau kad kredit mangsa telah digunakan untuk tujuan jenayah.

“Modus operandi mereka adalah dengan membuat panggilan kepada mangsa menggunakan platform VOIP (voice over internet protocol) dan menyamar sebagai pegawai daripada institusi kewangan untuk memperdaya mangsa,” katanya.

Beliau berkata hasil serbuan polis berjaya merampas pelbagai alatan elektronik seperti telefon bimbit, tablet, modem dan komputer riba selain pasport.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas antaranya 60 telefon bimbit, 36 pasport, enam penghala (router) yang berfungsi sebagai sebuah alat penghubung di antara rangkaian komputer yang berlainan dan lima tablet.

“Kesemua suspek direman selama 14 hari dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, JSJK telah menahan enam individu tempatan disyaki terlibat dengan kes perjudian dalam talian.

“Mereka dipercayai telah bergiat aktif selama dua tahun serta menggunakan modus operandi dengan menghantar jemputan di media sosial seperti Facebook atau WeChat untuk menarik orang ramai.

“Selain itu, mereka juga mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM300,000 setiap bulan hasil daripada judi online itu,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *