Polis berjaya tumpaskan sindiket ‘MC’ palsu

Satu sindiket menjual sijil cuti sakit (MC) palsu yang menyerupai dokumen dikeluarkan sebuah klinik kesihatan kerajaan telah berjaya ditumpaskan Polis Melaka dalam dua serbuan di daerah Melaka Tengah.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia memaklumkan, dua suspek berusia 21 telah ditahan dan turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Y125R, kunci, sebuah telefon pintar dan satu dompet.

Sindiket itu mula aktif menjalankan kegiatan itu sejak Jun lalu dan dipercayai sudah menjual kira-kira 300 keping sijil cuti sakit palsu tertera ‘Klinik Kesihatan Peringgat’.

Sijil cuti sakit palsu itu dikatakan dijual kepada beberapa individu yang berminat dengan harga bermula RM10 sehingga RM35.

“Dalam tempoh sejam setengah selepas tangkapan pertama, polis berjaya menahan suspek kedua berusia 21 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ketua sindiket di rumahnya di Peringgit Jaya, di sini.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek kedua, polis merampas 10 keping kertas sijil cuti sakit palsu; tujuh keping kertas A4 warna kuning; satu set komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) jenama Lenovo serta sebuah mesin pencetak.

“Satu cop bulat bertulis ‘Klinik Kesihatan Peringgit 75400 Melaka; satu cop tarikh dan cop kayu bertulis ‘R. Rohaiza Roslan Mbb (Malaya) Pegawai Perubatan Ud 54,” katanya.

Pihak polis masih memburu beberapa lagi suspek yang terlibat dan tidak menolak jumlah hasil jualan sijil cuti sakit palsu ini sudah mencecah RM10,500.

Sementara itu, Teoh Tia juga meminta kerjasama dari pihak majikan yang meragui sijil cuti sakit palsu untuk membuat laporan polis dan menasihatkan masyarakat tidak terpedaya dengan tawaran sijil cuti sakit palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *