Politik pembangkang semakin memualkan generasi muda

Golongan muda perlu menolak pakatan pembangkang, ini kerana pendekatan politik kebencian dan retorik yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan, kata Pengarah Operasi MALAYA, Farhan Khairuddin.

Beliau berkata demikian ketika dalam Bicara santai ‘Anda Tanya Kita Jawab’ anjuran Jabatan Penerangan UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017, semalam.

Beliau berkata, golongan muda kini sudah bosan dan muak dengan cara permainan politik pakatan pembangkang yang disertai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang hanya membuat dakwaan tidak benar dan fitnah demi kepentingan peribadi.

“Sebagai contoh kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaid Ibrahim itu dilihat sangat menghina institusi diraja bahkan seolah-olah memberikan kata dua kepada Sultan Selangor dengan menyatakan bahawa Sultan tidak perlu masuk campur dan ambil tahu berkenaan isu politik di Malaysia.

“Tindakan pemimpin DAP itu membuktikan bahawa kepimpinan DAP tidak mempunyai rasa hormat kepada Sultan yang merupakan institusi kepimpinan tertinggi di dalam negeri dan negara dan sudah cukup untuk membayangkan bagaimana pendirian Dap terhadap institusi kesultanan di negara ini,” katanya.

Disebabkan itu, beliau menegaskan bahawa pendekatan politik yang diamalkan DAP dan pembangkang seperti itu harus ditolak kerana ia jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghormati Perlembagaan dan institusi kesultanan Melayu.

Selain Farhan, dalam program bicara santai itu juga menampilkan bekas anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) Nor Fazlin; Pengerusi Kelab UMNO Wellington, Hanis Syazan; dan Pengerusi Kelab UMNO London, Syazwan Shah.

Nor Fazlin menyelar parti-parti pembangkang yang ada di negara ini yang hanya tahu mengkritik dan menghentam apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Tindakan pembangkang yang lebih gemar menghentam kerajaan daripada memberikan idea-idea untuk membantu dalam isu-isu negara membuatkan anak muda melihat politik pembangkang hanyalah retorik semata-mata.

“Pendekatan politik pakatan harapan yang menimbulkan sesuatu isu untuk membangkitkan semangat kebencian kepada pihak kerajaan juga dilihat tidak menyelesaikan sebarang masalah, bahkan hanya menambah lagi masalah yang telah sedia ada.

“Sebenarnya anak muda mahukan sebuah kerajaan yang boleh duduk semeja dengan kami dan sentiasa memikirkan masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyeru golongan muda supaya menolak Pakatan Harapan kerana parti pembangkang di negara ini mengamalkan pendekatan retorik dan politik kebencian untuk disebar luaskan kepada rakyat terutama anak muda.

Beliau juga menyelar tuduhan yang mendakwa kononnya golongan muda tidak lagi mahu bersama UMNO. Beliau menyifatkan dakwaan itu hanyalah kata-kata kosong memandangkan pertambahan ahli baru, terutama di dalam UMNO yang semakin bertambah khususnya di kalangan anak muda di negara ini. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *