PTPTN dicadangkan diberi kepada pelajar luar negara

Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan pembiayaan pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diperluaskan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara.

Dengan ini, kata Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin, ia dapat meringankan kos kehidupan pelajar di luar negara yang tinggi dan membebankan.

Malah, beliau berkata, ia turut boleh menjadi badan pinjaman pendidikan alternatif baharu buat pelajar yang menuntut di luar negara yang selama ini mereka bergantung kepada pinjaman biasiswa daripada entiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara),.

“Ramai juga pelajar kita di sana yang menanggung kos pendidikan sendiri, ia memang membebankan ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit.

“Puteri akan membawa perkara ini kepada PTPTN untuk mencari satu kaedah supaya dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa terlibat,” katanya selepas majlis apresiasi Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas) di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata Puteri UMNO akan bergerak lebih aktif lagi dalam memberi pendedahan dan maklumat mengenai pinjaman PTPTN terutama kepada golongan remaja lepasan sekolah.

“Kita juga banyak membantu pelajar lepasan universiti yang mempunyai kesukaran dalam membayar hutang mereka, kami bawa pelajar ini ke PTPTN bagi membuat penstrukturan semula pinjaman mereka,” kata Mas Ermieyati. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *