Rakyat harus pilih sama ada BN atau DAP di PRU14

Presiden UMNO yang juga merangkap sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang pemimpin yang berjiwa besar, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut beliau, Najib bijak mengaturkan waktu musuh harus ditentang dan waktu bila pekerti harus dijulang.

“Saya teringat bagaimana kisah seorang pemimpin Islam Salahuddin Al Ayubi, ketika Perang Salib, tiba-tiba beliau mendapat khabar, bahawa jeneral dari pasukan musuhnya sedang sakit.

“Disuruh para tentera berhenti berperang. Pada malamnya, Salahuddin menghantar doktor terbaik merawat jeneral musuhnya.

“Puan-puan ini bukan kecil jiwa, demikianlah pemimpin yang kita miliki hari ini, jelas kita lihat jiwa besar pemimpin BN kita semasa banjir besar melanda Pulau Pinang baru-baru ini,” katanya menerusi teks ucapan dasar Ketua Wanita UMNO di PWTC, semalam.

Shahrizat berkata, imej yang ditunjukkan itu adalah hasil didikan UMNO yang akhirnya dapat melahirkan pemimpin yang berjiwa besar.

“Selagi tali bersatu, bersetia, berkhidmat dipegang kejap pemimpin dan ahli Umno, selagi itulah mereka akan terus berjiwa besar,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat juga mengingatkan perwakilan Wanita UMNO agar memastikan Putrajaya tidak terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“PRU14 merupakan jihad buat Wanita Umno agar Malaysia terus dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai rekod cemerlang.”

“Di hadapan kita musuh yang menggila, ini perang yang bukan kepalang, ini sumpah seorang pejuang. Ini perang yang mesti menang, kita tegakkan panji keramat. Kita perang demi maruah, kita perang demi bangsa kita perang mesti menang,” katanya.

Beliau juga memberikan kata dua kepada Wanita UMNO sama ada memilih pemimpin yang sudah diketahui secara fakta dan angka memiliki rekod cemerlang atau pemimpin yang akan menindas bangsa Melayu.

“Kali ini rakyat terpaksa hadapi kata dua, pilihlah wahai rakyat. Pilihlah di antara dua. Satu kanan, kerajaan parti yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN). Kita kenal hati budi, rekod pencapaian Najib.

“Jika kiri, pilihlah kerajaan yang dikemudikan DAP. Sanggupkah rakyat Malaysia serah bulat-bulat negara yang kita bina sekian lama kepada pemimpin ‘cauvanist’. Pemimpin yang agendanya membimbangkan kita semua.

“Hanya 2 pilihan, kerajaan dipimpin Najib, melalui BN atau pembangkang yang akan dipimpin Lim Kit Siang. Sanggupkah kita lihat ia berlaku?” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *