Rakyat mahu jawapan – Kenapa caj perumahan mahal di P.Pinang

Hanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan DAP sahaja mendakwa harga rumah mampu milik di Pulau Pinang bertepatan dan mampu dimiliki rakyat negeri Pulau Mutiara itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar.

Sedangkan hakikat sebenarnya, kata Azizi, rumah mampu milik di negeri Pulau Pinang bukan rumah mampu dimiliki, sebaliknya hanya mampu tengok sahaja.

“Harga rumah di Pulau Pinang terlalu tinggi dan di luar kemampuan majoriti rakyat Pulau Pinang. Harga rumah di Pulau Pinang hampir sama dengan harga rumah di Lembah Klang, walaupun purata pendapatan isi rumah Pulau Pinang separuh daripada purata pendapatan isi rumah di Lembah Klang.

“Kenapa rumah di Pulau Pinang sangat mahal?,” soalnya.

Selain spekulasi harga tanah yang menjadikan harga tanah di Pulau Pinang mahal dan kenaikan harga bahan binaan di pasaran, beliau berkata ia juga berpunca daripada tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang sejak 2009 yang telah menaikkan kadar sumbangan wajib dan caj pembangunan baru ke atas pemaju perumahan di negeri itu.

Malah, katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim Guan Eng telah menaikkan kadar caj tersebut berlipat ganda berbanding kadar semasa Pulau Pinang di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Pada November 2015, Rehda Pulau Pinang berkata, pemaju perumahan di Pulau Pinang terpaksa menanggung kenaikan caj pembangunan 3 kali ganda sejak 2010. Mereka juga terpaksa menghadapi peningkatan dalam sumbangan “pampasan” kepada rumah kos rendah dan untuk kos sederhana rendah yang pemaju tidak mampu bina, “ganti rugi” untuk kemudahan awam.

“Menurut Rehda Pulau Pinang lagi, pemaju perumahan di Pulau Pinang bukan sahaja perlu menghadapi peningkatan berlipat ganda caj sedia ada, malah mereka juga perlu menghadapi caj baru yang diperkenalkan kerajaan negeri dan kadar caj ini sentiasa meningkat.

“Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada November lalu, Datuk Dr Muhammad Farid Saad, adun BN-Pulau Betong dalam perbahasannya talah menyenaraikan caj pembangunan yang dikenakan pihak berkuasa tempatan kepada pemaju perumahan di Pulau Pinang,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata angka bagi caj pembangunan perumahan yang didedahkan Farid tersebut langsung tidak disangkal atau dinafikan exco perumahan dan exco kerajaan tempatan.

Beliau menyifatkan ini menunjukkan Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah mengakui pendedahan Farid tersebut.

“Caj pembangunan yang dahulunya hanya RM5 satu kaki persegi untuk pembangunan rumah kediaman dinaikkan kepada RM15 satu kaki persegi, manakala sumbangan perparitan, parkir, kemudahan komuniti dan prasarana lain dinaikkan sekali ganda dengan ada yang mencecah 2 kali ganda.

“Sumbangan perparitan dinaikkan daripada RM10,000 setiap ekar kepada RM50,000 setiap ekar. Sumbangan parkir kereta dinaikan daripada RM15,000 satu petak kepada RM25,000 satu petak. Sumbangan kemudahan komuniti dinaikkan daripada RM25 kepada RM500 satu kaki persegi.

“Bayaran “ganti rugi” tidak membina rumah kos rendah dinaikkan daripada RM42,000 seunit kepada RM120,000 seunit oleh kerajaan Pulau Pinang selepas 2009,” katanya lagi.

Azizi berkata kenaikan caj pembangunan dan sumbangan yang dikenakan pihak berkuasa negeri menjadi punca kepada peningkatan kos pembinaan rumah minimum sebanyak RM120 setiap kaki persegi di Pulau Pinang.

Menurut beliau, inilah punca sebenarnya mengapa harga rumah di negeri Pulau Pinang terlalu mahal.

“Ini juga adalah cukai tersembunyi yang dikenakan kerajaan negeri ke atas pembeli rumah di Pulau Pinang.

“Tiada orang berniaga untuk rugi. Begitu juga pemaju perumahan. Mereka akan memindahkan beban itu kepada pembeli rumah, maka berlakulah kenaikan harga rumah.

“Kenaikan harga rumah akan menyebabkan kadar sewa rumah meningkat dan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata semua peningkatan ini akan memberi keuntungan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengutip cukai tersembunyi di sebalik kenaikan caj pembangunan, juga peningkatan hasil kepada PBT melalui cukai taksiran.

Dalam pada itu, Azizi juga berkata caj atau bayaran “ganti rugi” kerana tidak membina rumah kos rendah akan dinaikkan lagi pada 1 Januari 2018 sehingga RM300,000 seunit.

“Akibatnya, rakyat yang membeli unit kediaman seluas 1,000 kaki persegi terpaksa membayar kos tambahan sekurang-kurangnya RM120,000 seunit.

“Jika kenaikan kos RM120,000 ini ditambah kepada pinjaman perumahan untuk tempoh 30 tahun dengan kadar faedah 5% setahun, ini akan menyebabkan peningkatan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM671.03 setiap bulan kepada pembeli rumah.

“Ini sudah pasti menambahkan beban pembeli rumah setiap bulan. Jumlah kos faedah 5% ke atas RM120,000 selama 30 tahun adalah RM116,569.73.

“Bila harga rumah mahal, rakyat Pulau Pinang rugi, tetapi kerajaan DAP Pulau Pinang tetap mendapat keuntungan,” katanya lagi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *