Rakyat sudah lali dengan isu GST

Malaysia mula melaksanakan GST di negara ini pada kadar enam peratus pada 1 April 2015 bagi menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang telah lama dilaksanakan sejak 1972 dan 1975.

Pelaksanaan cukai itu juga antara salah satu langkah yang dibuat oleh kerajaan untuk menyusun semula struktur percukaian negara supaya lebih telus, efisyen dan mesra peniaga.

Walaupun di kritik hebat semasa di awal pelaksanaan, kini rakyat dilihat sudah menerima baik pelaksanaan GST dan ia bukan lagi menjadi satu masalah.

Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor memaklumkan, rakyat sudah boleh menerima baik GST itu dan sudah lali dengan perkara itu.

“Kalau awal-awal dulu, mungkin orang suka nak cerita, tapi sekarang, dah lebih dua tahun, rakyat dah lali dengan GST dan ia pun dah masuk dalam senarai perbelanjaan mereka.

“Saya boleh katakan, rakyat dah boleh ‘move on’ dan mereka dah tak hairan lagi,” katanya

Menurutnya, sudah tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh rakyat terhadap GST kerana ia adalah salah satu cara yang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan pendapatan.

Selepas itu, cukai yang dikenakan pada rakyat itu akan dikembalikan semula kepada rakyat dengan pelbagai bentuk inisiatif.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz berkata bagi 2016, jumlah aduan yang berkurangan diterima Jabatan kastam Diraja Malaysia (JKDM) berhubung cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membuktikan kefahaman dan penerimaan rakyat terhadap cukai itu

“Peningkatan berterusan daripada segi pemahaman dan penerimaan GST di kalangan rakyat berikutan program publisiti dan kesedaran yang dijalankan secara inklusif oleh kerajaan,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *