Ramai penjawat awam hilang kerja jika tukar kerajaan

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan, ramai penjawat awam akan hilang kerja jika pihak pembangkang mengambil alih pentadbiran negara ini.

Beliau berkata penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang akan dikuncupkan jumlahnya disebabkan dendam kesumat pembangkang sejak sekian lama jika pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

“Dan, sudah tentu sekali, kesumat pihak lawan sejak sekian lama terhadap keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera sebagai leluhur jati di pertiwi ini akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukannya,” katanya.

Malah, nasib bangsa melayu juga akan dihina dan hidup merempat di tanah air sendiri.

“Sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan Syiarnya diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini?

“Keduanya, tergamakkah kita, melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia, bahkan akan diderhaka, manakala, institusi-institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti Mara, Felda, serta Tabung Haji serta-merta pula nanti akan disisihkan.

“Begitulah juga dengan nasib UiTM, institusi kebanggaan Umno Bumiputera, yang pastinya akan digagalkan objektifnya begitu saja, sekiranya pihak lawan memerintah,” ujarnya.

Kerajaan dilihat amat prihatin terhadap kebajikan kakitangan perkhidmatan awam di negara ini, tetapi parti pembangkang menyatakan perkhidmatan awam negara ini berlebihan kakitangan.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, kakitangan perkhidmatan awam berhadapan risiko dibuang kerja sekiranya parti pembangkang mengambil alih.

“Janji dia orang (parti pembangkang) ialah untuk mengurangkan separuh daripada jumlah kakitangan perkhidmatan awam apabila mereka memerintah.

“Ini bermakna ramai kakitangan perkhidmatan awam akan kehilangan pekerjaan,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *