Ratusan rumah musnah penduduk larikan diri akibat kebakaran hutan

VENTURA, California: Ratusan rumah musnah manakala ribuan penduduk di sekitar Ventura terpaksa melarikan diri susulan kebakaran hutan yang cepat merebak, disemarakkan dengan tiupan angin panas dan kering Santa Ana.

Kebakaran itu, yang digelar Thomas Fire, berlaku petang kelmarin di kaki bukit Ventura.

Angin segera menyemarakkan api ke barat bandar raya itu yang terletak 80 kilometer ke barat laut Los Angeles.

Menjelang petang semalam, ia belum dapat dikawal langsung dan sudah memusnahkan lebih 20,234 hektar kawasan, kata pegawai bomba.

Seorang petugas memadam api Kompleks Pangsapuri Hawaiian yang terbakar akibat kebakaran hutan di Ventura, California. – Foto AFP

Gabenor California, Jerry Brown, mengisytiharkan darurat, menggunakan dana dan sumber kerajaan untuk membantu lebih 1,000 anggota bomba yang bergelut menyelamatkan rumah daripada kebakaran itu.

“Kebakaran ini amat bahaya dan merebak pantas tetapi kami akan terus mengawal keadaan dengan apa yang ada.

“Penduduk perlu terus bersedia dan berpindah segera apabila diarah berbuat demikian,” kata Brown.

Tiada laporan kematian akibat kebakaran itu tetapi laporan KABC-TV menyatakan seorang maut dalam kemalangan kereta ketika meninggalkan kawasan itu. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *