Rehat Secukupnya Bantu Cegah Gila Meroyan Selepas Bersalin

Gejala meroyan selepas bersalin adalah sejenis kemurungan yang sering berlaku terhadap golongan wanita terutamanya saat pertama kali melahirkan anak. Ia juga merupakan istilah yang digunakan oleh orang Melayu terhadap gangguan emosi selepas bersalin.

Penyakit gila meroyan ini adalah gangguan jiwa yang serius jika tidak diubati. Masalah ini selalunya akan dialami sewaktu atau selepas berpantang. Mereka yang mengalaminya mampu untuk melakukan hal-hal yang merbahaya sehingga boleh mencederakan diri sendiri, bayi ataupun orang sekeliling.

Mengikut nasihat orang tua-tua, penyakit meroyan ini harus diberi perhatian kerana ia akan berlarutan sehingga seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Akan tetapi, bagi kalangan doktor perubatan penyakit ini dikenali sebagai ‘postpartum pyschosis‘ yang juga sama seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa yang lain.

Menurut tradisi nenek moyang dahulu, cara berpantang juga memainkan peranan untuk mengelakkan ibu bersalin mendapat meroyan. Salah satu punca terjadinya meroyan ini adalah akibat daripada darah bental yang tidak keluar habis dan bertukar menjadi darah beracun. Darah ini akan mengganggu urat saraf dan sekaligus membuatkan keseimbangan hormon wanita itu terganggu.

Sebenarnya, lebih daripada 85 peratus wanita akan mengalami gangguan perasaan selepas bersalin iaitu dalam tempoh berpantang. Tetapi kebanyakkan daripada mereka cuma mengalami gangguan pada tahap ringan dan tidak merbahaya. Menurut bidang perubatan, gangguan perasaan lepas bersalin boleh dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu;

1. Postpartum Blues

Ini adalah masalah gangguan emosi yang normal dan tidak merbahaya. Ianya sering berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi mereka akan memuncak pada hari ke tiga hingga kelima selepas bersalin dan akan berkurang selepas lebih sepuluh hari bersalin. Emosi mereka juga akan kembali stabil dan baik seperti sediakala.

2. Postpartum Depression

Ini pula adalah sejenis gangguan psikologi yang perlu mendapatkan rawatan daripada pakar. Ia akan mendatangkan kesan teruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Gangguan psikologi ini lebih kerap berlaku pada bulan pertama dan berlanjutan sehingga setahun. Malah ia juga boleh berlaku kepada ibu yang mengalami keguguran ataupun kematian bayinya. Kemurungan ini juga dikatakan lebih teruk berbanding perubahan emosi pada postpartum blues

3. Postpartum Psychosis

Postpartum psychosis ataupun dipanggil meroyan ini adalah peringkat yang paling kritikal yang jarang berlaku selepas bersalin. 1 atau 2 orang daripada 1000 orang wanita boleh diserang masalah psikosis selepas bersalin. Ia boleh berlaku sehingga ke 2 tahun selepas bersalin. Mereka akan merasa resah, tidak tenang, emosi cepat berubah-ubah, tidak dapat tidur yang cukup dan juga sering merasa keletihan.

Masalah kemurungan mereka juga akan membuatkan mereka jadi sedih yang melampau dan juga sering menangis. Pada tahap ini, mereka akan mula cakap merapu, fikiran bercelaru dan mengalami delusi yang teruk sehingga mampu membunuh bayi ataupun orang sekeliling. Kadar bunuh diri bagi ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin ini juga adalah tinggi.

Oleh itu, para wanita diluar sana diingatkan supaya mempelajari tanggungjawab sebagai ibu bapa daripada keluarga atau mana-mana bahan bacaan sebelum mengandung ataupun melahirkan. Sentiasa berfikiran positif dan dapatkan sokongan emosi daripada suami atau ahli keluarga yang lain jika mudah rasa tertekan saat mengandung.

Rehat yang cukup juga sangat penting bagi wnaita dalam pantang. Jangan hanya duduk terperap di dalam rumah sahaja sekali sekala hiruplah udara segar diluar. Pengambilan makanan yang sihat juga penting ketika berada dalam pantang, untuk mengembalikan kecergasan badan. – utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *