Semakin ramai pihak yang marah pada DAP di P.Pinang

DAP patut berhenti menunjukkan sikap politik tidak matang, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau kesal apabila bantuan mangsa banjir terutamanya di negeri Pulau Pinang baru-baru ini dituduh sebagai perkauman apabila memberi tumpuan kawasan yang diabaikan mereka.

“Lim Guang Eng ini agaknya mudah lupa siapa yang dia telefon pukul tiga setengah pagi saat dia memohon bantuan dengan penuh tangisan.

“Kalau pertolongan ikhlas kita ketika banjir pun mereka disalah tafsir oleh mereka, apa lagi yang kita nak harapkan dari politik DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Beliau berkata dari dulu sehingga kini, parti Roket itu kekal anti-Melayu dan anti-Islam.

Katanya, lihat sahaja bagaimana Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming sebelum ini yang mengeluarkan kenyataan begitu biadap dan berani menghina kaum Melayu.

“Tidak usah beretorik panjang-panjang tentang hal ini. Baca sahaja perlembagaan DAP, jelas kelihatan yang mereka perjuangkan ialah Malaysian-Malaysia.

“Malah kini, dalam parti Roket itu dipenuhi pelampau perkauman. Bacalah sahaja kenyataan-kenyataan Nga Kor Ming yang begitu berani menghina bangsa kita,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati juga membidas Ketua Menteri Pulau Pinang kerana bongkak dan bangga diri terhadap kerajaan negeri pimpinannya yang didakwa bangga dengan kecekapan, akauntabiliti dan bersikap telus.

“Hari ini bukan sahaja NGO marah akan Guan Eng tapi rakyat Pulau Pinang pun dah marah dengan Guan Eng.

“Bahkan kalau pokok dan bukit boleh bercakap, mereka juga akan marah Guan Eng. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana jika kita serahkan kuasa Pusat kepada tangan orang yang semacam ini,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *