Sumpah Laknat Norshila Amin Tak Sah

Isnin lepas penyanyi era 80-an yang terkenal dengan lagu ‘Aku Sudah Jatuh Cinta’, Norshila Amin bersama anak perempuannya Nuurul Admiena Norrizan telah mengangkat sumpah laknat sebanyak lima kali untuk menyangkal semua dakwaan yang dilemparkan padanya.

Dalam sidang media itu, Norshila menafikan segala dakwaan yang dilemparkan padanya seperti menipu wang lapan orang rakan artis ketika menyertai festival di Brunei serta pergaduhan yang berlaku antaranya dengan pelakon, Lana Nordin.

Namun, menurut seorang pendakwah bebas, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman sumpah laknat yang dilakukan Norshila itu sebenarnya tidak sah kerana sumpah hanya akan sah jika ia dibuat melalui proses mahkamah dan bukan dihadapan orang ramai.

Jelas Dr Zaharuddin, memegang Al-Quran ketika bersumpah juga sebenarnya bukanlah satu keperluan kerana bimbang itu boleh mempengaruhi masyarakat sehingga menimbulkan salah faham yang kononnya itu adalah cara sebenar untuk membuat sumpah laknat atau li’an.

Malah, membuat sumpah laknat untuk mengesahkan penipuan dalam hal ehwal perniagaan juga sebenarnya adalah satu tindakan yang salah dalam agama dan tidak digalakkan dalam Islam. Ia boleh menyebabkan seseorang itu melakukan sumpah tanpa sebarang bukti yang sah.

Tambahan pula, sumpah laknat atau li’an hanya wujud dalam urusan pertuduhan zina terhadap suami isteri seperti yang terdapat di dalam surah an-Nur ayat 6-8. Oleh itu, meskipun sumpah Norshila itu dilakukan dengan nama Allah tetapi ia tetap tidak sah.

Dan, sumpah yang boleh dikira pakai dan sah dalam kes Norshila itu hanyalah sumpah biasa dan bukan sumpah laknat. Namun, sumpah biasa pula hanya boleh dilakukan selepas mempunyai bukti kukuh kerana jika tiada, sumpah tidak perlu dilakukan.

Nampaknya, mengangkat sumpah ini bukan satu perbuatan yang boleh dilakukan begitu sahaja, tanpa merujuk kepada orang-orang tertentu yang lebih arif dalam hal ini. Walau macam mana pun, kami harap Norshila dapat menyelesaikan isu yang berlaku padanya dengan artis-artis lain dengan cara yang baik. –utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *