Tinggalkan daging babi di pintu masjid, lelaki dihukum penjara 15 tahun

FORT LAUDERDALE: Lelaki yang merosakkan sebuah masjid di Florida pada Januari 2016 dan meninggalkan daging babi di pintu rumah masjid itu, dihukum penjara 15 tahun atas sabitan kesalahan jenayah kebencian, kata jurucakap Peguam Negeri semalam.

Michael Wolfe, 37, mengaku bersalah kelmarin atas tuduhan melakukan kerosakan terhadap rumah ibadat dalam kes yang dianggap sebagai jenayah kebencian, kata jurucakap Daerah Kehakiman ke-18 Florida termasuk daerah Brevard dan Seminole, Todd Brown.

Rakaman kamera pemantauan pada 2016, selepas insiden itu menunjukkan seorang lelaki yang menyamar dengan kepala bercukur memecahkan tingkap, kamera dan lampu dengan parang di masjid di Titusville, Florida berhampiran Cape Canaveral, kata polis.

Umat Islam diharamkan daripada makan daging babi dan kumpulan pelampau menggunakan daging babi untuk mengotorkan masjid, kata Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR).

CAIR Florida bersetuju dengan pendakwa raya dan peguam bela dalam menentukan hukuman Wolfe, kata Brown.

“Masyarakat Muslim Florida terdedah kepada banyak kes jenayah kebencian. Banyak masjid dan institusi Islam diceroboh, dirosakkan dan ada yang dibakar,” kata jurucakap CAIR Florida, Wilfredo Ruiz dalam kenyataan semalam.

Wolfe juga dihukum 15 tahun tempoh percubaan yang akan bermula selepas hukuman penjaranya, kata Brown. – Reuters

Sumber – bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *