Tunjukkan bukti atau berdepan hukuman kerana fitnah

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri UMNO Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin perlu tunjukkan bukti atau berdepan dengan hukuman kerana fitnah, tegas Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau demikian ketika mengulas mengenai dakwaan Wan Asshima yang mendakwa setiap kali Perhimpunan Agung Umno (PAU) berlangsung, banyak berlaku pasangan yang berkhalwat.

MT UMNO itu berkata, tuduhan yang dilemparkan Wan Asshima adalah fitnah besar dan harus dikemukakan dengan bukti.

“Fitnah besar yang perlu didatangkan bukti. Prinsip Islam sesiapa yang membuat tuduhan dan dakwaan mesti membawa bukti.

“Kalau tidak, dia yang patut dihukum kerana memfitnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaubagaimanapun, tuduhan dilemparkan Wan Asshima itu yang disiarkan di portal Harakahdaily sehari sebelum berlangsungnya PAU2017 telah diturunkan dari portal rasmi PAS itu.

Wan Asshima mendakwa dalam tempoh 17 tahun menjadi ahli UMNO beliau tahu ramai pasangan yang berkhalwat dan bersekedudukan dalam satu bilik sepanjang PAU diadakan.

“Berapa ramai pasangan yang berkhalwat, berapa ramai pasangan bukan Islam bersama dengan orang Islam.

“Dekat situ kita tengok, berapa ramai pasangan isteri orang, suami orang bersama dalam satu bilik,” kata Wan Asshima yang dipetik Harakahdaily.

PAU 2017 telah membuka tiranya bermula semalam sehingga 9 Disember 2017 ini di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC). –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *