UMNO akan gagal jika tak kuasai media sosial

UMNO akan gagal jika tidak menguasai media sosial, ini kerana pentingnya menguasai media sosial dalam usaha mengembalikan keyakinan dan penyatuan ummah Melayu tanpa meminggirkan sesiapa, kata Ketua Penerangan UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, salah satu punca UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlepas kerusi kubu kuat pada Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) lalu kerana gagal menguasai perang persepsi.

“Tiga faktor kita kalah di beberapa kawasan pada pilihan raya lalu pertama adalah perang persepsi di media sosial dan kedua, perebutan calon dipilih pucuk pimpinan tidak diberi sokongan.

“Ketiga, orang Cina bersatu tanpa mengira parti menyokong pembangkang dan orang Melayu pilih untuk berpecah belah. Perkara ini membuatkan Bumiputera rugi kerana kekuatan politik terbahagi.

“Untuk hadapi pilihan raya akan datang, kita kena kuasai media baharu tangani persepsi, langkah penyatuan ummah dari sudut politik tanpa meminggirkan sesiapa dan pastikan kesilapan lalu tidak berulang. Kalau itu dapat dilakukan, Insya Allah, kita akan muncul lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bual Bicara Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) bertajuk: ” PRU14: Betulkah UMNO di persimpangan?” yang dihos moderator, Kadir Dikoh.

Tambahnya, setiap masalah dan sabotaj dalam parti walau sekecil mana pun harus dikesan dan diselesaikan dengan mementingkan kemuafakatan dan keutamaan parti.

“Kesedaran yang cuba dibangkitkan Presiden, Datuk Seri Najib Razak menjurus kepada resolusi sebagai satu peringatan yang wajib dipatuhi semua ahli parti supaya apabila kita keluar PAU ini dengan semangat baru, lebih berdisiplin dan kekuatan kepada parti,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *