Wanita gagal patuhi kod pakaian Islam di Iran tidak akan ditahan

TEHRAN: Wanita yang gagal mematuhi kod berpakaian Islam yang dikuatkuasa sejak revolusi 1979 di bandar ini tidak akan ditahan, demikian jaminan pihak polis Iran.

Pengumuman itu menandakan kelonggaran hukuman terhadap pihak yang mengingkari kod berpakaian bersifat konservatif Iran.

Bagaimanapun tindakan sesetengah pihak yang menentang ketetapan ini menyebabkan tidak jelas sama ada perubahan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya atau sebaliknya.

“Pihak yang tidak mematuhi kod berpakaian Islam tidak akan ditahan, juga tiada kes perundangan yang akan difailkan terhadap mereka,” kata Ketua Polis Tehran, Jeneral Hossein Rahimi seperti mana dilaporkan media reformasi tempatan, Sharq.

Agensi berita separa rasmi, Tasnim berkata, bagaimanapun individu yang ingkar itu perlu menghadiri kelas yang dikendalikan pihak polis.

Selain itu, bagi individu yang melakukan kesalahan berulang masih berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang dan kod berpakaian itu masih kekal di luar kawasan bandar ini.

Selama hampir 40 tahun. wanita di Iran dipaksa untuk bertudung, memakai pakaian longgar dan baju berlengan panjang, bagaimanapun bagi wanita muda liberal pula lebih gemar menutup kepala dengan skaf longgar, malahan ada yang mewarnakan kuku.

Seperti mana Arab Saudi, pihak polis Iran akan menahan pesalah dan membawa mereka menaiki van polis sebelum menghubungi ahli keluarga pesalah supaya membawa pakaian untuk ditukar.

Selain wanita, pihak polis juga akan menahan lelaki yang memakai seluar pendek atau tidak berbaju.

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *