Wanita warga emas ditipu hampir RM1 juta beli pokok herba sembuh segala penyakit

Nasib malang menimpa seorang wanita wang emas kerana telah menjadi mangsa tipu dan kerugian hampir sejuta ringgit kerana mahu membeli pokok herba.

Warga emas itu telah mengalami kerugian sebanyak RM855,000 selepas ditipu dua orang wanita kerana mahu membeli pokok herba yang dikatakan boleh menyembuhkan segala penyakit.

Mangsa yang berasal dari Ipoh itu dikatakan telah mendengar perbualan dua orang wanita tentang pokok herba yang boleh menyembuhkan segala penyakit. Berminat dengan pokok itu, mangsa mahu melihat pokok herba itu.

Kemudian mangsa telah dibawa berjumpa dengan seorang rakan kedua-dua suspek wanita itu sebelum membeli pokok herba terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby memaklumkan, mangsa yang berusia 65 tahun itu telah kerugian wang tunai pelbagai mata wang, dua utas jam tangan dan barangan kemas telah membuat laporan polis selepas mendapati dia ditipu dan dipukau.

“Kedua-dua suspek juga memberitahu bahawa mangsa mempunyai penyakit kronik yang perlu diubati dengan segera sebelum ia merebak kepada ahli keluarga.

“Bagaimanapun, suspek meletakkan syarat agar mangsa menyerahkan semua harta kepada mereka untuk mengubati penyakit tersebut,” katanya.

Mangsa yang tidak sedar ditipu telah menyerahkan semua hartanya pada kedua-dua suspek yang menunggu di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 2, Mengelembu.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan seperti ini dan dapatkan kepastian dahulu sebelum menyerahkan sebarang wang atau harta. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *