Warga emas jadi mangsa tipu pasangan suami isteri seleweng wang pakej umrah

Impian setiap umat Islam mahu menjejakkan kaki ke tanah suci sama ada untuk menunaikan umrah atau haji. Oleh itu, ramai umat Islam menyimpan duit untuk pergi ke tanah suci itu. Tetapi, ada juga pihak yang sanggup melakukan perbuatan licik dengan menipu pakej umrah.

Baru-baru ini, seorang warga emas merupakan bekas guru telah kerugian RM40,380 kerana menjadi mangsa tipu sepasangan suami isteri yang menyeleweng wang pakej umrah.

Ramli Hmid, 62, telah menjadi mangsa tipu seorang lelaki dikenali sebagai Mohd Pirus Yusof Khan, 47 tahun, yang bekerja sebagai seorang ejen di agensi pelancongan KRS Travel Sdn Bhd Cawangan Kuantan.

Manakala, isterinya Nur Sureena Intachat Abdullah, 43 ditahan kerana disyaki bersubahat dengan suaminya untuk menipu wang warga emas terbabit.

Namun, pasangan suami isteri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan itu.

Mohd. Pirus didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan manakala isterinya dituduh di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 109 kanun serupa, yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda.

Hakim Siti Aminah Ghazali menawarkan ikat jamin RM15,000 setiap seorang. Tetapi, jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin selepas mereka mengemukakan rayuan terpaks menyara dua anak dan menjaga seorang adik kurang upaya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Januari depan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *