Waspada dengan pinjaman wang berlesen palsu

Pelbagai taktik yang sanggup digunakan oleh pinjaman wang haram untuk melakukan aktiviti pemberian pinjaman wang kepada orang ramai.

Terkini, pinjaman wang haram sanggup mengaburi mata orang ramai dengan menipu mereka adalah syarikat pinjaman wang berlesen kerana telah menerima lesen pemberian pinjaman wang yang kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM telah mengeluarkan kenyataan mendakwa pihak terbabit sanggup membuat lesen pemberian pinjaman wang palsu supaya orang ramai lebih mempercayai bahawa mereka adalah pemberi pinjaman wang berlesen.

Orang ramai yang menjadi mangsa akan diminta membuat pembayaran awal bagi pelbagai tujuan yang berkaitan dengan pinjaman seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

Malah, BNM juga telah memaklumkan pihak mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen pemberian pinjaman wang.

“BNM ingin memaklumkan bahawa kami tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“BNM juga ingin menggesa semua mangsa penipuan kewangan di atas untuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia bagi memudahkan siasatan,” kata kenyataan itu.

Kegiatan penipuan ini dilihat aktif dilakukan menerusi laman sesawang, media sosial, panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), emel atau dalam bentuk komunikasi lain.

Oleh itu, orang ramai diminta untuk berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan syarikat pinjaman wang haram ini.

Sebarang kekeliruan dan inginkan kepastian, orang ramai dan boleh merujuk senarai institusi yang berlesen atau diluluskan di bawah undang-undang di laman web rasmi BNM. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *