11 lelaki didakwa dalam pencurian minyak di pusat penapisan terbesar Shell

Singapura: Sebelas lelaki didakwa di mahkamah di sini, semalam kerana terbabit dalam pencurian minyak di pusat penapisan terbesar Shell.

Polis sebelum itu mengumumkan menahan 17 lelaki dan merampas wang tunai bernilai jutaan dolar selain kapal tangki kecil dalam siasatan kecurian yang berlaku di pusat perindustrian Pulau Bukom itu.

Royal Dutch Shell Plc yang kali pertama melaporkan kecurian itu pada Ogos lalu, semalam berkata, tangkapan turut membabitkan beberapa kakitangannya selain menjangkakan sedikit gangguan dalam operasi di Bukom susulan itu.

Sembilan rakyat tempatan didakwa mencuri manakala dua lelaki Vietnam dituduh menerima barangan curi yang dipindahkan dari Pulau Bukom ke kapal Prime South.

Semua yang ditahan polis ketika serbuan pada Ahad lalu berusia antara 30 hingga 63 tahun. Menurut polis, enam lelaki yang belum didakwa masih disiasat.

Polis turut merampas wang tunai S$3.05 juta (RM9.1 juta) dan kapal tangki kecil selain membekukan akaun bank semua suspek.

Bukom adalah pusat penapisan minyak terbesar dunia Shell dari segi kapasiti penyulingan mentah, menurut laman web syarikat.

Shell enggan menyatakan jumlah minyak dicuri, namun kertas tuduhan mengkhususkan minyak gas sebagai bahan diambil dengan jumlah berbeza didakwa diambil setiap tertuduh.

Sumber – hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *