13 maut banjir lumpur terburuk di California

CALIFORNIA – Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala lebih 20 lagi masih hilang selepas California Selatan dilanda banjir lumpur terburuk ekoran hujan lebat tanpa henti dan taufan yang berlaku sejak dua hari lalu.

Menurut portal berita BBC, seramai 163 orang telah dikejarkan ke hospital dengan empat orang mengalami kecederaan parah akibat bencana tersebut.

Polis berkata, lokasi kejadian itu kelihatan seperti ‘medan pertempuran Perang Dunia Pertama’ dan sehingga 300 orang dilaporkan masih terperangkap di Romero Canyon, timur Santa Barbara.

Hampir keseluruhan kawa­san lebuh raya utama seluas hampir 48 kilometer dilitupi lumpur tebal dan keadaan itu diburukkan oleh kebakaran hutan pada bulan lalu yang menggalakkan lagi banjir dan tanah runtuh.

“Hujan lebat mengakibatkan aliran banjir lumpur hingga mencecah paras pinggang me­rebak ke seluruh komuniti dan menyebabkan puluhan rumah hanyut serta pokok-pokok besar tumbang.

“Batu-batu sebesar kereta turut meluncur ke lereng bukit dan menyekat jalan-jalan raya serta laluan utama hingga menyukarkan usaha menyelamat,” kata jurucakap Jabatan Bomba Santa Barbara County, Mike Eliason.

Kawasan kejiranan Monte­cito yang menempatkan kediaman selebriti terkenal termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey dan Ellen DeGeneres turut terjejas teruk dengan anggota keselamatan menggunakan bantuan anjing pengesan untuk mencari mangsa yang terpe­rangkap.

Angka kemalangan di Los Angeles akibat cuaca buruk itu dilaporkan meningkat sebanyak 275 semalam berbanding hanya 30 pelanggaran yang direkodkan pada tempoh sama minggu lepas.

Banjir besar juga memaksa penutupan kawasan kastam di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Perintah pemindahan mandatori dikeluarkan di bahagian pinggir bandar Los Angeles, Burbank, selepas puluhan ken­deraan dihanyutkan ‘sungai lumpur’ yang melanda kawasan itu.

Keadaan itu juga menyebabkan berlaku kebocoran gas dan usaha pembaikan menyebabkan ratusan penduduk terpaksa bergelap tanpa bekalan elektrik dan kemudahan air.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *