3 remaja perempuan dikecam hebat tipu gelandangan makan percuma dan larikan diri

TIGA remaja perempuan dikecam hebat selepas dilihat membawa seorang lelaki gelandangan ke restoran Nando’s untuk diberi makan percuma.

Sebaliknya, selepas sampai di restoran ayam panggang itu, mereka melarikan diri meninggalkannya tanpa makanan.

Pelanggan yang sedang makan mendakwa ketiga-tiga remaja tersebut mempermainkan lelaki itu dengan menawarkan hidangan ayam dalam kejadian di restoran di Woolwich, South East London.

Tetapi, mereka yang dipercayai berusia sekitar 16 atau 17 tahun itu kemudian dilihat melarikan diri sambil ketawa dan bergurau sesama sendiri tentang aksi kejam mereka.

Sally Cudmore yang begitu marah dengan kelakuan mereka telah mengambil gambar kumpulan remaja berkenaan.

Dia menulis di Facebook: “Saya tak percaya dengan apa yang saya dan orang lain baru saja lihat di Woolwich malam ini.

“Tiga gadis dalam keadaan bising-bising datang dengan kamera merakam dan mengambil gambar seorang lelaki gelandangan di belakang mereka dan mereka memberitahunya bahawa makan malamnya iaitu Nando’s akan dibayar oleh mereka.

“Mereka menyuruh lelaki itu duduk dan tiga gadis itu pergi ke kaunter dan bercakap dengan pekerja.

“Mereka kemudian memesan makanan dan keluar merokok. Lelaki itu bertanya apa yang dipesan mereka?

“Dan mereka terus ketawa, walaupun semua orang di Nando’s memandang mereka kerana ketawa dengan kuat,” katanya.

Cudmore berkata gelandangan itu kemudian pergi ke kaunter untuk melihat sama ada terdapat makanan untuknya dan dipaksa meminta maaf kepada pekerja sementara tiga remaja berkenaan merakamkan situasi tersebut.

“Mereka tidak berniat pun untuk memesan makanan untuknya, sebaliknya mereka mengekorinya, ketawa dan bertindak kejam terhadapnya.

“Sungguh menjijikkan, saya harap anda semua tak seperti itu.

“Lelaki miskin itu begitu kecewa,” katanya.

Cudmore berkata dia kemudian membeli makanan untuk lelaki itu. Postingnya telah dikongsi 1,500 kali tetapi dia telah memadamnya.

Selepas dikongsi di sebuah laman Facebook tempatan, netizen mula menamakan gadis-gadis itu.

Salah seorang daripada mereka, didakwa yang berambut perang berkata lelaki itu telah menghampiri dia dan rakannya ketika mereka meninggalkan McDonald’s dengan meminta sebatang rokok tetapi mereka menawarkannya minuman.

Remaja berkenaan yang tidak dinamakan Sun Online kemudian mendakwa lelaki itu meminta minuman lain dan mengabaikan permintaan mereka untuk tidak menggangu mereka.

“Saya suruh dia tinggalkan kami dan dia mula mengugut rakan saya, jadi saya berjalan ke kaunter Nando’s dan memberitahu pekerja lelaki yang kami berpura-pura memesan makanan supaya kami dapat melepaskan diri daripadanya.

“Apabila kami keluar dia mula menjerit bahawa kami penipu dan dia menarik kawan saya jadi kawan saya mempertahankan dirinya dan menolaknya.”

Ceritanya ini bagaimanapun telah ditolak oleh Cudmore dan pengguna media sosial lain yang mendakwa mereka melihat gadis-gadis itu mengejek lelaki tersebut.

Seorang netizen berkata: “Seorang pemandu teksi pun telah menyuruh kamu semua meninggalkan dia sendirian kerana sebelum itu kamu semua bersembunyi di belakang kereta dan kemudian melompat keluar cuba untuk menakutkannya.”

Nando’s memberitahu The Sun Online mereka tidak mahu mengulas. -TheSunUK

Sumber – mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *