Ahli PPBM patut malu bila ada Timbalan Presiden macam Muhyiddin

Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang individu yang tidak mempunyai prinsip kerana bekerjasama dengan DAP yang selama ini beliau dalam UMNO menyifatkan parti Roket itu sebagai parti paling rasis, kata Ahli Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Dr Norvandri Hasan Basri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Muhyiddin semasa Konvensyen Pakatan Harapan 2018 baru-baru ini yang berucap, “PAS yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bersama kita sudah pun terpisah, tidak bersama kita dan nampaknya mereka pun sedang berkhalwat dengan UMNO”.

Dr Norvandri berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang sebenarnya ‘meliwat’ prinsip sendiri.

Begitu juga, kata Dr Norvandri, parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu dan DAP yang diterajui Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sedang ‘meliwat’ sesama sendiri.

“Dan sekarang, Muhyiddin Yassin telah melanggar segala yang diperkatakannnya itu apabila bersekongkol dengan parti cauvinis DAP.

“Ini bukan berkhalwat lagi tetapi meliwat prinsip sendiri. Manakala PPBM dan DAP sedang meliwat sesama sendiri!” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan itu jelas menunjukkan keterdesakannya yang semakin tenggelam sebaik menyertai pakatan pembangkang.

Tambahnya, beliau percaya orang ramai tidak pernah melupakan kata-kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang menyifatkan mana-mana orang Melayu yang bekerjasama dengan DAP sebagai pengkhianat bangsa dan hanya menjadi kuda tunggangan parti Roket itu semata-mata.

Antara pengakuan Muhyiddin terhadap DAP ialah kemenangan DAP di Pulau Pinang serta mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada PARTI PALING RASIS ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau.

Begitu juga dengan pengakuannya iaitu DAP dengan tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

Selain itu, DAP langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

Ini juga pengakuannya terhadap DAP iaitu DAP tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja.

Dalam pada itu, Dr Norvandri juga berkata Muhyiddin sebenarnya individu paling kecewa sekali dalam kalangan ahli Pakatan Harapan kerana tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri, sebaliknya nama Mahathir yang juga Pengerusi PPBM pula diangkat.

“Apa tidaknya, nama beliau diangkat menjadi calon Perdana Menteri oleh Mahathir dan partinya dipermulaan episod penubuhan parti PPBM.

“Tetapi kini, nama beliau hilang entah ke mana,” ujarnya sambil menyoal samaada Muhyiddin akan kembali ‘u-turn’ kepada UMNO. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *