Alasan tambak laut untuk Dana Pelan Induk Pengangkutan (PIP) adalah tidak logik

PULAU PINANG – Alasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan DAP menambak laut di kawasan Permatang Damar Laut bertujuan mencari dana untuk projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri adalah tidak logik, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar.

Beliau juga menegaskan kumpulan nelayan di negeri Pulau Pinang tetap akan membantah projek tambak laut di kawasan tersebut biarpun dijanjikan bayaran pampasan tinggi oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Beliau berkata mereka tetap dengan pendirian dan tidak akan berubah yang mana projek tebus guna laut seluas 1,800 hektar itu akan menjejaskan sumber rezeki mereka buat selama-lamanya.

Bagaimanapun, Arshad berkata beliau boleh menarik nafas lega selepas ketegasan dan jaminan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menegaskan akan menggunakan segala ruang kuasa kementeriannya bagi membantah projek berkenaan.

“Kami golongan nelayan tidak lagi dapat tidur lena sebaik sahaja Kerajaan DAP Pulau Pinang menyatakan hasrat menambak laut kawasan ini.

“Sejarah sudah membuktikan bagaimana nelayan misalnya di Tanjung Tokong kini hampir lenyap akibat projek tambak laut di situ dan pampasan RM15,000 yang diberikan langsung tidak membawa perubahan lebih baik kepada kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya mencemar dan memperdagangkan kawasan laut yang disifatkan sumber rezeki kepada golongan nelayan demi untuk memenuhi keperluan pemaju swasta.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Mahadi Md. Rodzi menyelar sikap kerajaan DAP Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng yang kononnya prihatin dengan nasib nelayan yang bakal terjejas akibat projek tambakan laut berkenaan kerana langsung tidak berjumpa dengan golongan terbabit bagi mendengar keluhan mereka.

Beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang sehingga kini langsung tidak berjumpa golongan terbabit untuk mendengar sendiri keluhan dan suara mereka apatah lagi untuk berbincang mengenai pampasan.

“Malah, kita juga sudah banyak kali menghantar surat untuk berjumpa Ketua Menteri, Lim Guan Eng namun tidak pernah dilayan,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *