Anak-anak zaman sekarang sanggup jadikan ibubapa sebagai bank segera

Tidak dapat dinafikan ibu bapa memang tidak sanggup melihat anak-anak hidup susah. Disebabkan itu juga ibu bapa sanggup memberikan apa sahaja yang anak-anak inginkan.

Apabila ibu bapa sudah mendidik anak-anak untuk tidak pernah merasa susah, anak-anak akan menjadi generasi yang tidak matang dan berdikari. Malah, apabila dewasa mereka akan menjadikan ibu bapa sebagai ‘bank segera’.

Bukan sahaja dari segi membiayai pendidikan, tetapi juga melibatkan membeli kereta, rumah baru dan untuk berkahwin. Malah, lebih menyedihkan apabila anak-anak dilihat langsung tidak rasa serba salah atau malu meminta ibu bapa menanggung mereka seumur hidup.

Selain itu, anak-anak tanpa segan silu menjadi ibu bapa ‘bank segera’ kerana mengetahui ibu bapa mereka mempunyai duit pencen atau KWSP. Anak-anak akan meminjam duit itu dan ibu bapa yang bimbang anak-anak hidup susah sanggup memberikan duit pencen dan KWSP kepada anak-anak.

Pakar sosial, Dr. Fatimah Daud mendedahkan sudah menjadi perkara biasa ibu bapa di Malaysia yang sudah tua menanggung beban kewangan anak-anak sehingga mati.

“Dalam sesetengah urusan seperti perkahwinan dan membeli rumah, ada anak yang mahu kesemua perbelanjaan itu ditanggung oleh ibu bapa atas alasan tidak cukup duit kerana belum bekerja atau tiada tabungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Negara, Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia, Lim Eng Seong berkata, tinjauan berjudul ‘Mendepani Masa Depan’ itu turut mendapati, ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat peringkat global dalam menyokong kewangan anak-anak mereka yang dewasa, manakala Emiriah Arab Bersatu berada di tempat teratas.

“Pendidikan merupakan perkara paling banyak dibantu oleh ibu bapa (69 peratus), manakala 41 peratus menyokong dari segi kos kehidupan harian termasuk bil utiliti, barang keperluan dapur dan pembaikan kediaman. Selain itu, mereka turut membantu dari segi perubatan dan penjagaan pergigian (38 peratus) dan 27 peratus dalam kos kemudahan atau sewa,” katanya.

Bagaimanapun, trend sebegini sepatutnya tidak dilakukan oleh anak-anak. Ibu bapa telah menanggung anak-anak sejak dari kecil. Sepatutnya apabila sudah dewasa kita sebagai anak-anak perlu membalas jasa ibu bapa dan memberi sumber kewangan pada ibu bapa bukan mereka yang terpaksa menanggung anak-anak sehingga mereka mati.

Ibu bapa juga sepatutnya mendidik anak-anak untuk hidup berdikari dan bukan terlalu bergantung kepada orang lain. Ibubapa perlu memberikan anak-anak pengalaman hidup yang sukar untuk mencari duit agar mereka belajar erti tanggungjawab dan menjadi lebih matang. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *