Benih padi dan baja untuk pesawah di Kangar tak berkualiti?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Syukri Ramli meminta pihak berkuasa untuk menyiasat kandungan benih padi, baja dan racun yang telah diberikan kepada pesawah di kawasaanya.

Beliau berkata, ia bimbang jika terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang memberikan benih dan baja yang tidak berkualiti kepada pesawah.

“Kita meminta supaya pihak kerajaan menyiasat perkara ini memandangkan semua pesawah memperoleh benih dan baja dibekalkan MADA.

“Kita bimbang berlaku ketirisan apabila benih atau baja yang disalurkan tidak berkualiti.

“Di samping itu, kita berharap supaya ada sedikit pampasan daripada kerajaan negeri memandangkan tanaman padi ini adalah sumber utama pendapatan mereka,” katanya.

Baru-baru ini, terdapat seramai 16 pesawah di Kangar mendedahkan telah mengalami kerugian lebih RM70,000 akibat tanaman padi yang telah diusahakan mereka tidak menjadi kerana masalah padi angin.

Padi angin ini dikategorikan sebagai rumpai di mana ia mempunyai sifat bijinya mudah terlerai daripada tangkai. Pesawah tidak dapat membezakan pokok padi angin dan pokok padi biasa semasa peringkat awal penanaman sehingga padi masa.

Seorang pesawah, Abdul Hamid Mat, 65, memaklumkan semua tanaman padi miliknya telah rosak dan mengeluarkan padi angin dan dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000.

“Saya mula menyemai benih padi pada pertengahan Oktober lalu di kawasan tanaman seluas tiga hektar di belakang rumah.

“Saya menjalankan prosedur tanaman padi mengikut jadual yang diaturkan oleh Lembaga Kemajuan Muda (MADA), malah benih padi ini pun diambil dari anak syarikat MADA,” katanya.

Dia dan keluarga telah bercuti, apabila pulang dari bercuti dia agar terkejut apabila melihat padi telah masak tidak seperti yang dijadualkan.

“Bila pulang dari Indonesia, hati saya tergerak melihat tanaman padi di belakang rumah dan terkejut apabila tiga hektar padi sudah kekuningan dan mengeluarkan buah (padi) tidak seperti yang dijadualkan.

“Hampir semuanya rosak dan mudah luruh jika disentuh atau ditiup angin, disebabkan itu ia digelar padi angin sebab tangkainya tidak kuat.

“Pada musim tanaman padi yang lalu, tidak dinafikan ada terhasil juga padi angin tapi tidak banyak tapi kali ini semuanya jadi padi angin,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pesawah, Rosli Sirun, 65, mendakwa dia telah mendapatkan benih padi ini dari anak syarikat MADA. Sepatutnya agak mustahil untuk mereka mengalami perkara seperti ini.

“Kami semua hairan kerana pesawah di sini menggunakan benih, baja dan racun yang dikeluarkan oleh anak syarikat MADA dan mustahil tanaman jadi begini.

“Kami sudah membuat laporan kepada pihak MADA bagaimanapun sehingga kini mereka hanya mengesahkan tanaman kami rosak dan kami masih menunggu tindakan sewajarnya,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *