Beranikah Mahathir bertanding di kerusi Permatang Pauh?

Baru-baru ini, Pakatan Harapan mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara jika gabungan yang masih belum sah taraf itu berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Selain Mahathir, turut diumumkan Presiden PKR dan Pakatan Harapan, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, pemilihan bekas perdana menteri keempat itu sebagai calon perdana menteri Pakatan itu mendapat kritikan dari pelbagai pihak termasuk daripada kalangan penyokong pakatan pembangkang sendiri.

Mahathir baru-baru ini mendakwa beliau bersedia untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bekas musuh ketatnya yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahathir kononnya tidak kisah untuk kehilangan jawatan nombor satu negara itu nanti.

Walau apa pun, kerusi manakah akan menjadi pilihan Mahathir memandangkan nama beliau dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya memenangi pada PRU1-14 akan datang. Jika dilihat dalam Perlembagaan Malaysia, seorang Perdana Menteri harus menang dalam PRU sebelum beliau boleh menjawat jawatan nombor satu negara itu.

Sebelum ini, Mahathir pernah menyatakan minatnya terhadap kerusi Langkawi atau Putrajaya, jika diminta rakan-rakan sekutu di dalam Pakatan Harapan untuk bertanding dalam PRU-14 akan datang.

Namun jika benar bekas perdana menteri keempat itu ikhlas mahu memberi laluan kepada Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang untuk menjadi Perdana Menteri, beliau perlu bertanding di kawasan Parlimen di Permatang Pauh yang dikatakan kubu kuat Anwar.

Serta melakukan tindakan yang sama seperti Wan Azizah sebelum ini. Untuk maklum, Wan Azizah pernah menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika Anwar berada di penjara selepas didapati bersalah semasa zaman pemerintahan Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Namun bagaimanapun, Wan Azizah telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat dikawasan tersebut untuk memberi laluan kepada suaminya selepas Anwar dibebaskan dari penjara.

Jadi, beranikah Mahathir bertanding di kerusi Permatang Pauh yang dikatakan kubu kuat Anwar itu?
Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *