BN perlu tampilkan calon wakil rakyat yang tahu buat kerja

Rakyat pasti akan tolak wakil rakyat yang hanya tahu berjanji manis demi mendapatkan sokongan dan populariti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Sebaliknya, rakyat mahukan seorang wakil rakyat berintegriti yang boleh menjadi suara mereka.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, pengundi hari ini semakin matang dalam menentukan calon-calon yang berintegriti untuk menjadi wakil rakyat mereka dan memantau melalui media sosial siapa calon yang ditampilkan.

“Pelbagai kajian sikap telah dibuat bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. Perkara yang paling penting yang rakyat mahukan daripada seorang wakil rakyat adalah integriti dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivarraajh berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua calon Barisan Nasional (BN) bagi PRU14 sedang menjalani tapisan integriti sepenuhnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang salah laku melibatkan integriti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata tapisan itu dilakukan oleh unit khas BN bersama agensi-agensi berkaitan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Sivarraajh berkata, langkah BN itu merupakan satu yang tepat bagi meyakinkan dalam kalangan rakyat terutamanya dikalangan anak-anak muda untuk memilih pemimpin-pemimpin yang mempunyai integriti.

“Selain integriti, seorang calon atau wakil rakyat harus mempunyai komitmen, belas kasihan dan dedikasi dalam menyelesaikan masalah rakyat, selain berkredibiliti,” kata beliau yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata penting untuk seseorang wakil rakyat memiliki sifat integriti.

“Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun. Justeru, kepada sesiapa yang akan dipilih sebagai wakil rakyat, penting untuk memiliki sifat integriti,” katanya.

Menteri Kerja Raya itu berkata, langkah BN itu sudah menjadi amalan dalam parti itu setiap kali menjelang pilihan raya bagi memastikan setiap calon yang dipilih benar-benar layak, berintegriti dan berwibawa.

Manakala, Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon, berkata amat penting untuk wakil rakyat menjalani tapisan integriti, selain menjadi pemimpin contoh.

Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, pula berkata calon yang melepasi tapisan tersebut akan menjadi cerminan kredibiliti sesebuah parti.

Beliau berkata keruntuhan integriti akan menjadi punca wujudnya banyak kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah, salah laku dan penyelewengan.

“Tapisan integriti ini wajar kerana individu yang berintegriti akan tetap mematuhi peraturan kerana takrif integriti memerlukan individu yang menjalankan tanggungjawab tanpa mengambil kira sama ada tindakan mereka dilihat ataupun tidak,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar, berkata wakil rakyat yang bakal dipilih penting ditapis kerana mereka ini bakal diangkat menjadi pemimpin yang akan mempertahankan dan memperjuangkan hak rakyat dan bukannya agenda peribadi. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *