DAP gadai dua tanah Tanjung Tokong kepada pemaju terowong

Isu pembayaran kos kajian kebolehlaksanaan projek mega pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang yang dibuat dalam kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri, sebelum ini pernah dibangkitkan olehnya serta beberapa wakil rakyat lain, termasuk daripada DAP dalam beberapa sidang DUN lalu, kata ADUN Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin.

Beliau berkata perkara itu juga pernah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Pulau Pinang bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut dan terperinci daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan DAP.

“Pada masa itu sebagai ahli PAC, kita persoalkan mengapa kos kajian kebolehlaksanaan projek ini terlalu mahal dan adakah pembayaran yang dibuat itu munasabah dengar kadar kerja yang dilakukan syarikat perunding yang dilantik.

“Malah, anggota PAC, termasuk dalam kalangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika itu turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mengikut garis panduan dan pekeliling berhubung penjimatan kos yang dikeluarkan Perbendaharaan Negeri sebelum memutuskan pembayaran kajian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadikan isu bayaran kepada syarikat perunding untuk melaksanakan projek terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang berjumlah RM305 juta, termasuk pertukaran dua lot tanah di Tanjung Tokong sebagai fokus siasatan.

Ini kerana dua lot tanah terlibat, masing-masing mempunyai berkeluasan 1.49 hektar dan 0.8 hektar, apabila dimajukan nilainya mampu mencecah sehingga RM15 bilion.

Mengulas lanjut, ADUN Penanti itu berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendakwa bayaran kajian projek mega tersebut dibuat mengikut konsep mengambil sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan kos sesebuah projek, selain mengakui mengikut amalan Institut Jurutera Malaysia (IEM).

“Sedangkan bayaran kos kajian kebolehlaksanaan projek mega itu boleh dibuat berdasarkan yuran profesional dan kos pelaburan semula yang dijangka tidak menelan kos terlalu tinggi.

“Malah, kita juga bimbang apa kesudahan ke atas kos yang sudah dilaburkan itu sekiranya hasil akhir kajian berkenaan merumuskan projek berkenaan tidak sesuai dijalankan,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *