DAP mula gerakkan jentera pilihanraya di P.Pinang

Pilihan raya umum seterusnya sudah semakin tiba masanya, setiap parti politik yang ada di negara ini dilihat sudah mula bertungkus lumus membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengarahkan seluruh jentera parti Roket itu digerakkan sebagai persediaan menghadapi PRU14 akan datang yang diramalkan akan berlangsung sebelum 17 Mei ini.

“Untuk memenangi Putrajaya, Pakatan Harapan perlu memenangi Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kedudukan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Jentera kita sudah perlu digerakkan sepenuhnya dalam masa 100 hari ini untuk memastikan mekanisme organisasi, penerangan dan kewangan telah siap sedia bersama kepiminan dan calon,” katanya dalam ucapan pada Pemukiman Kepimpinan DAP Kebangsaan di Subang, baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau percaya PRU-14 akan diadakan sebelum tarikh itu selepas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berkata Parlimen dijangka dibubarkan pada April ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum pada bulan Ramadan yang dijadualkan bermula pada 16 Mei, atau semasa sambutan Aidilfitri pada pertengahan Jun.

“Yang tinggal adalah tarikh antara lewat April dan awal Mei,” katanya.

Mandat kerajaan Barisan Nasional (BN) berakhir pada 24 Jun manakala pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen dibubar.

Setiausaha Agung parti Roket itu berkata Najib tidak akan menunggu hingga Parlimen terbubar dengan automatik.

Jika DAP sudah mula menggerakkan jenteranya, diharapkan UMNO, Gerakan, MIC dan MCA pun turut melakukan perkara yang sama. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *