DAP P.Pinang akan kitar semula manifesto PRU13 untuk bodohkan rakyat

Sudah dua penggal DAP memerintah negeri Pulau Pinang dan juga Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri, tapi apa perubahan yang berlaku di negeri itu sejak parti itu memerintah? Adakah negeri Pulau Pinang itu menjadi semakin baik seperti Guan Eng bangga mendakwa bahawa parti Roket itu akan memerintah negeri itu lebih baik daripada kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN)?

Adakah rakyat Pulau Pinang hidup aman dibawah pentadbiran parti Roket itu? Adakah kebajikan dan kesejahteraan mereka dijaga dengan baik oleh DAP? Adakah ketua menteri negeri itu seorang pemimpin yang prihatin dan mendengar permasalahan rakyatnya? Jawapannya amat jelas dan mudah iaitu tidak.

Sejak DAP mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 2008 sehingga kini, parti itu hanya menimbulkan banyak masalah dan memberi pelbagai bebanan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat negeri Pulau Mutiara itu sahaja.

Dalam manifesto DAP Pulau Pinang untuk Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Guan Eng dan DAP menabur pelbagai janji untuk menyedapkan telinga dan meraihkan sokongan rakyat. Ketua Menteri yang terlibat dengan skandal rasuah itu menjanjikan akan memberikan ekonomi dinamik untuk masa depan Pulau Pinang, isu sosial dan alam sekitar, dan Malaysia global yang berakal.

Bukan hanya itu sahaja, beliau menjanjikan akan mengekalkan pilihan raya kerajaan tempatan serta menghormati kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.Turut tersenarai dalam manifesto tersebut ialah usaha menyelesaikan kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam. Adakah semua janji tersebut ditunaikan?

Jawapannya memang tidaklah. Boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Pulau Pinang sekarang. Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya membela nasib dan mendengar masalah rakyat mula mengenakan pelbagai caj dan cukai atas alasan untuk mengajar rakyat negeri itu.

Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya mahu mengajar rakyat di negeri itu berjimat bertindak menaikkan sehingga 100 peratus Surcaj Pemuliharaan Air (SPA) domestik terhadap rakyat negeri itu. Sepanjang sembilan tahun parti itu memerintah, ini sudah empat kali Guan Eng menaikkan caj air.

Kadar surcaj pemulihan air (SPA) tersebut telah dinaikkan daripada 48 sen kepada RM 1 setiap 1,000 liter air untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan.

Guan Eng dan DAP sebelum ini begitu lantang mengkritik apa sahaja yang dilakukan kerajaan BN sebelum itu dianggap sebagai dasar yang menzalimi rakyat Pulau Pinang. Mereka dakwa kononnya kerajaan BN tidak mampu untuk menaikkan taraf hidup rakyat di negeri itu. Malah mendakwa kononnya Kerajaan BN hanya tahu menaikkan harga barang.

Sedangkan hakikatnya, ketika zaman BN memerintah dahulu, tidak pernah pun menaikkan surcaj air. Satu sen pun BN tidak pernah menaikkan sepanjang tempoh 15 tahun iaitu dari tahun 1993 – 2008 BN memerintah. Tapi kini bila DAP memerintah hanya dalam tempoh 9 tahun, sudah empat kali mereka naikkan.

DAP juga mendakwa kerajaan BN tidak dapat mengatasi masalah lalulintas, walhal mereka yang sebenarnya tidak dapat mengatasi masalah tersebut sehingga kini. Janji-janji yang dijanjikan DAP kepada rakyat Pulau Pinang langsung tidak ditunaikan.

Sebaliknya, Kerajaan DAP Pulau Pinang cuba untuk menyembunyikan kelemahan mereka dalam bidang ekonomi dengan menaikkan surcaj perkhidmatan air dan menjual tanah-tanah kerajaan negeri. Sepanjang 9 tahun DAP memerintah, sudah banyak penjualan tanah kerajaan negeri dilakukan oleh DAP sehinggakan menimbulkan kebimbangan pihak NGO Pulau Pinang.

Tidak mustahil juga DAP Pulau Pinang akan kitar semula manifesto PRU13 untuk memperdayakan rakyat negeri itu lagi. Itulah yang akan diulang-ulang oleh mereka.

Bagaimanapun, jika masih ada yang sanggup menggadaikan nasib mereka dengan memberi peluang lagi kepada parti Roket itu, jangan terkejut dengan tindakan parti itu yang akan bertindak lebih ‘mengganas’ menindas hak-hak rakyat negeri itu dan merosakkan alam sekitar. Begitu juga akan berlaku lebih banyak penjualan tanah yang akan dilakukan DAP. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *