Devumi didakwa jual pengikut palsu kepada pengguna media sosial

NEW YORK – Sebuah syarikat, Devumi didakwa menjual berjuta-juta pengikut palsu kepada pengguna media sosial termasuk aktor, usahawan dan pengkritik politik untuk meningkatkan jumlah pengikut masing-ma­sing.

Menurut laporan New York Times yang dipetik oleh portal BBC, Devumi dituduh mencuri identiti sebenar orang ramai namun tuduhan itu dinafikan syarikat terbabit.

Ketua Pendakwa Raya New York, Eric Schneiderman berkata, perbuatan menyamar dan memperdaya adalah melanggar undang-undang negeri ini.

Akhbar itu menyiarkan laporan siasatannya terhadap Devumi termasuk temu bual dengan orang ramai yang mendakwa butiran akaun dan gambar profil mereka telah ditiru untuk mencipta ‘bot’ yang sebenar.

Difahamkan pihak yang terlibat sanggup membayar syarikat itu untuk meningkatkan jumlah pengikut masing-masing dalam media sosial, lapor portal BBC.

Penambahan jumlah pengikut dalam akaun media sosial boleh meningkatkan pengaruh pemilik akaun melalui kesannya terhadap pendapat orang ramai atau memberi keuntungan seperti tawaran pekerjaan atau perjanjian penajaan.

Schneiderman berkata, pihak­nya bimbang operasi ‘penyamaran’ sedemikian boleh menggugat demokrasi.

Melalui laman sesawang Devumi, syarikat itu membuat tawaran kepada pembeli dengan peluang menempah sehingga 250,000 pengikut di Twitter de­ngan harga bermula daripada AS$12 (RM46.50).

Pelanggan juga boleh membeli ‘like’ dan ‘retweet’.

Syarikat itu turut menjual pe­ngikut palsu itu melalui pelbagai saluran termasuk Pinterest, LinkedIn, Soundcloud dan Youtube.

Devumi didakwa mempu­nyai sekurang-kurangnya 3.5 juta aka­un automatik, kebanyakannya telah dijual berulang kali.

Selain itu syarikat berke­naan didakwa menggunakan se­kurang-kurangnya 55,000 akaun menggunakan nama, gambar profil, tempat asal dan butiran peribadi lain pengguna sebenar Twitter termasuk kanak-kanak.

Laman sesawang itu memaparkan iklan yang ditulis ‘Devumi telah membantu lebih 200,000 usahawan, selebriti, ah­li muzik dan pelanggan YouTube untuk meraih lebih banyak pendedahan dan membuat ke­san yang besar kepada penonton’.

Syarikat itu telah didaftarkan menggunakan alamat di New York namun akhbar berkenaan mendakwa pejabat syarikat ter­babit terletak di Florida dan menggunakan pekerja dari Fili­pina.

Sumber – utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *