Guan Eng dakwa media berniat jahat fitnah projek lebuhraya dan terowong

Kerajaan DAP Pulau Pinang dibawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendakwa bahawa media berniat jahat dan memfitnah berhubung projek pembinaan lebuhraya dan terowong dasar laut di negeri Pulau Mutiara itu.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum sah jawatannya itu mendakwa laporan yang disiarkan oleh akhbar The Star mengenai projek berkenaan adalah satu pembohongan.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang terlibat dengan skandal rasuah itu cuba menegaskan bahawa nilai harga tanah yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah RM208 juta dan bukannya RM3 bilion sepertimana yang didakwa akhbar tersebut.

“Harga yang kita tetapkan ini melebihi harga pasaran kerana kita nak menguntungkan dan memberi faedah kepada kerajaan negeri.

“Nilai pembangunan tanah sebenarnya RM1,300 perkaki persegi. Jadi, bukanlah RM3 bilion seperti yang dilapor oleh The Star – bohong! Ini fitnah. Bukan RM3 bilion tapi sebenarnya RM208 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan mahu akhbar berkenaan menunjukkan bukti berhubung perkara tersebut.

“Mana datangnya (nilai) RM3 bilion yang The Star siarkan itu? Mungkin mereka dengar cakap cybertrooper BN.

“Kita nak tanya mana mereka dapat nilai RM3 bilion ringgit nilai pre-selling tanah itu? (dakwaan The Star) mengarut! Kita harap mereka dapat berikan bukti. Mana buktinya? Kita juga nak tau,” katanya.

Beliau berkata, nilai tuntutan sebanyak RM208 juta kepada Zenith merupakan jumlah nilai bagi pembinaan tiga lebuhraya (bukan terowong) yang telah mendapat kelulusan EIA.

Kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tiada membuat sebarang bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut

“Bagi terowong, satu sen pun kita tak bayar lagi walaupun feasibility study siap 92 peratus,” katanya.

Malah, Guan Eng juga cuba menegaskan bahawa semua kontrak dalam projek pembinaan lebuhraya dan terowong dasar laut tersebut dibuat menerusi tender terbuka yang diselia oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa melibatkan Ketua Menteri mahupun Exco.

“Jangan kata yang kerajaan negeri pre-sell tanah itu kepada RM3 bilion. Itu satu pembohongan.

“Jangan tuduh yang feasibility study tak siap, tuduh kita (kerajaan negeri) dah buat bayaran. Kami tak bayar satu sen pun lagi. Kita akan bayar selepas siap dan diserahkan kepada HSSI dulu.

“SPRM dah mula siasat perkara ni sejak 2016. Sudah dua tahun dan sekarang, sebelum pilihanraya tiba-tiba semua laporan, dakwaan keluar,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *