Guan Eng dianggap paling teruk uruskan ekonomi negeri

Kerajaan DAP yang telah memerintah negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng selama sembilan tahun sering mendabik dada mengatakan mereka berjaya menguruskan negeri ini dengan baik dan mampu buat lebih baik daripada kerajaan sebelum ini.

Namun, adakah kata-kata parti Roket itu benar? Benarkah mereka mentadbir negeri Pulau Mutiara itu dengan telus dan amanah? Jika dikira sudah banyak bukti kerajaan DAP hanya membawa malapetaka di negeri Pulau Pinang, ditambah pula dengan sikap ketua menterinya yang sombong dan tidak pernah mengaku salah.

Selama sembilan tahun, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan jawatannya sering berbangga dengan pencapaian ekonomi negeri Pulau Mutiara itu bagi menunjukkan pencapaian diri sendiri.

Namun bagaimanapun, Guan Eng tidak boleh berbangga lagi dengan pencapaian ekonomi yang dibanggakannya itu dan patut malu apabila terdapat beberapa statistik yang mendedahkan bahawa Guan Eng sebenarnya merupakan Ketua Menteri yang paling terburuk dalam pengurusan ekonomi.

Ini dapat dilihat apabila kadar pertumbuhan KDNK per kapita negeri Pulau Pinang adalah yang paling rendah. Selain itu, Guan Eng juga telah mencemarkan imej negara dan menggugat keyakinan pelabur asing ke Malaysia.

Guan Eng selama ini sering mengkritik pentadbiran negeri lain, sedangkan pentadbiran negeri dibawahnya amat teruk. Jika dibandingkan KDNK per kapita dari tahun 2007 sehingga 2015, kadar pertumbuhan di negeri Pulau Pinang adalah yang paling rendah berbanding negeri lain di seluruh negara termasuklah Wilayah Persekutuan.

Jika KDNK per kapita Kelantan pada tahun 2015 adalah yang paling rendah namun kadar pertumbuhan negeri Kelantan sejak 9 tahun lalu adalah melebihi 73.9 peratus iaitu jauh lebih tinggi daripada Pulau Pinang iaitu 44.5

Ini merupakan satu perkara yang harus dipandang serius. Pendedahan ini juga jelas membuktikan bahawa Guan Eng tidak melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri dengan baik lebih-lebih lagi dalam menguruskan ekonomi negeri.

Pendedahan statistik ini juga turut membuktikan bahawa negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Guan Eng dan parti Roket ini berterusan mundur dan gagal.

Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dari tahun 2010 sehingga 2016, prestasi pelaburan negeri Pulau Pinang merosot di mana kedudukan asalnya yang berada di tangga pertama jatuh sehingga ke nombor 5 pada tahun 2015.

Perbelanjaan pengurusan Pulau Pinang melonjak, pada tahun 2008, perbelanjaan pengurusan adalah sebanyak RM280 juta. Ia bertambah kepada RM740 juta pada tahun 2014.

Pertambahan perbelanjaan pengurusan negeri Pulau Pinang yang ketara ini amat mengejutkan. Lagi satu, sikap Guan Eng dan pemimpin-pemimpin parti Roket itu yang hanya tahu mencemarkan imej negara, ia dibimbangi akan menggugat keyakinan pelabur asing. Akhirnya tiada pelabur yang akan melabur di negeri Pulau Pinang.

Pada 17 Jun 2011, Guan Eng telah menghadiri satu sidang media asing di Hong Kong. Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan biadap apabila memutarbelitkan kenyataan bekas Menteri di JPM, Idris Jala bahawa ‘Malaysia akan bankrup’.

Tindakan tidak bertanggungjawab Guan Eng yang sanggup menjatuhkan imej dan reputasi negara itu hanya semata-mata untuk kepentingan politik peribadi. Malah kenyataan Guan Eng itu juga dilihat memberi impak besar kepada kekacauan dan pengangguran kerana tiada lagi pelabur yang berani melabur dalam negara.

Kesimpulannya, Guan Eng telah menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak layak lagi untuk memimpin negeri Pulau Pinang. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *