Guan Eng mungkin terlepas untuk bertanding di PRU14

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin tiba masanya, namun Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mungkin terlepas peluang untuk bertanding di PRU-14 akan datang ekoran skandal kes rasuahnya.

Digesa jawab samaada perbicaraan kes rasuahnya akan menjejaskan pencalonannya pada PRU-14 akan datang, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan berkata, “mungkin”.

Perbicaraan kes rasuah melibatkan Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran ditetapkan selama 23 hari bermula 26 Mac ini di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil 40 saksi.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Guan Eng, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai, 2014 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn, di sini pada 28 Julai, 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Phang yang juga presiden Magnificent Emblem turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Lim dalam pembelian rumah di Jalan Pinhorn itu daripadanya pada harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran atau RM4.27 juta.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng cuba menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah menjelaskan bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan untuk tiga lebuh raya melalui cara tukar tanah bernilai RM208 juta.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, kerajaan negeri tiada membuat sebarang bayaran bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut seperti didakwa Gerakan Pulau Pinang.

Kata Guan Eng, keutamaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tiga lebuh raya itu dan bukannya terowong dasar laut yang dijangka siap hanya pada 2027.

Selasa lalu, Gerakan Pulau Pinang mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membayar RM208 juta bagi kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut melalui cara tukar tanah. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *