Guan Eng tak perlu salahkan media dan SPRM jika benar tak bersalah.. – Datuk Mohd Zaidi

Projek Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion yang digembar-gemburkan sebagai projek terbaik kerajaan DAP P.Pinang, kini mendapat perhatian ramai selepas pihak SPRM menahan dua individu berpangkat Datuk dan memanggil lebih 76 saksi hingga ia menjadi paparan utama media sejak dua minggu lalu.

Sejak dari itu, projek berkenaan diselubungi persepsi buruk termasuklah dakwaan skandal rasuah dan penyelwengan, sehingga mengundang pelbagai reaksi buruk dari rakyat sehingga mengakibatkan imej Kerajaan DAP khususnya Ketua Menteri Lim Guan Eng merudum.

Malangnya, kini pihak media pula yang disalahkan apabila Kerajaan DAP negeri mendakwa media kononnya telah melaporkan perkara yang tidak betul berkenaan skandal berkenaan. Media yang melaporkan isu-isu berkenaan juga diugut dengan tindakan saman sepertimana yang dilakukan oleh Guan Eng kepada beberapa media sebelum ini.

Sehubungan dengan itu, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menegaskan, Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak seharusnya menyalahkan pihak media yang kononnya memberi laporan tidak betul serta mensensasikan isu terbabit bagi menampakkan kerajaan negeri pimpinannya bersalah.

Beliau berkata, apa yang dilaporkan pihak media mengenai isu terbabit sebenarnya adalah melalui kenyataan yang diberikan Setiausaha Agung DAP itu sendiri serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

“Bagi saya jika berada di pihak yang benar, maka beliau tidak perlu berasa bersalah dan memberi kerjasama terhadap siasatan ini, namun kita hairan apabila Guan Eng berterusan menyalahkan pihak lain, antaranya SPRM dan media.

“Apa yang sering diutarakannya adalah mengatakan bahawa laporan media tidak betul, media sering mensensasikan isu dan tidak tahu fakta sebenar sedangkan apa yang dilaporkan berdasarkan daripada kenyataan beliau serta barisan EXCO pimpinannya sendiri,” katanya.

Mohd Zaidi berkata demikian selepas diminta mengulas berkenaan tekanan yang diberikan kerajaan negeri kepada SPRM dan petugas media yang melaporkan perkembangan siasatan mengenai isu projek terowong dasar laut itu di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Jelasnya, siasatan SPRM dapat membantu menyelesaikan persengketaan terbabit dan membuktikan kebenaran siapa yang bersalah.

“Hasil siasatan ini kita akan lihat siapa yang berbohong samaada media yang lapor tidak benar atau kerajaan negeri sendiri yang sering beri kenyataan tidak benar berkenaan isu yang sedang hangat berlaku di negeri ini,” katanya. – UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *