Ibu bapa terlampau manjakan anak jadi punca masalah disiplin pelajar

Masalah disiplin pelajar di sekolah kian meningkat, perkara ini jika tidak dibendung pasti akan memburukkan lagi keadaan di mana pelajar boleh terlibat dengan gejala sosial seperti menghisap dadah dan jenayah berat.

Apabila melibatkan masalah disiplin pelajar di sekolah, sering kali guru yang dipersalahkan, sedangkan ibu bapa tidak sedar mereka memainkan peranan penting dalam membentuk disiplin anak-anak.

Ibu bapa dikatakan terlampau memanjakan anak yang menjadi punca masalah disiplin pelajar. Setiap kali anak-anak melakukan kesalahan dan dihukum oleh guru di sekolah, ibu bapa akan menyalahkan dan memarahi guru kerana menghukum anak mereka.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Mahang, Kedah Abdul Rashid Abdul Rahman menyifatkan peningkatan kes pelajar mengancam guru adalah kerana sikap ibu bapa terlalu manjakan anak.

Beliau berkata, pihaknya menerima baik tindakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang mencadangkan 23 Kod Etika Ibu Bapa atau Penjaga ketika berurusan di sekolah.

“Panduan ini penting bagi mengelak guru dipersalahkan dan diancam pelajar seperti terjadi dalam kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.

“Pendapat saya, setiap guru yang memukul anak murid atau pelajar mesti bersebab, ibu bapa jangan mudah percaya kepada anak mereka, datang ke sekolah dan berbincang dengan guru atau pengetua,” katanya.

Selain itu, beliau agak kecewa dengan sikap sesetengah ibu bapa yang selalu tidak hadir dalam setiap perjumpaan yang dibuat antara PIBG dan sekolah. Sepatutnya ibu bapa sama-sama menyelesaikan isu berkaitan anak mereka di sekolah.

“Kami buat mesyuarat pun hanya segelintir ibu bapa yang datang, perlu difahami, ibu bapa perlu menyelesaikan setiap isu anak mereka di sekolah dengan bersemuka dan berbincang,” katanya.

Sementara itu, peningkatan kes pelajar ancam guru ini juga menunjukkan pelajar sekarang sudah semakin kurang nilai moral kata YDP PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul Fazzly Isma Abdullah.

“Peningkatan kes pelajar ancam guru menunjukkan semakin kurangnya nilai moral pelajar pada masa kini dan situasi ini membimbangkan pendidik dan menggusarkan ibu bapa.

“Melalui pengalaman saya bersama PIBG sekolah sejak 11 tahun lalu, tidak dinafikan masalah pelanggaran disiplin secara tidak langsung berpunca daripada pelajar. Segelintir ibu bapa zaman sekarang memang memanjakan anak dan terlalu mendengar cerita dan suka bertindak sendiri,” katanya.

Katanya, disebabkan sikap sesetengah ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang masalah disiplin anak-anak di sekolah juga menyumbang kepada peningkatan kes terbabit.

“Kesimpulannya, tuntutan gaya hidup atau kos sara hidup pada masa kini menyumbang pelbagai masalah sosial yang bermula daripada bangku sekolah lagi.

“Saya setuju 23 syor NUTP itu wajar didengar memandangkan situasi terkini semakin parah dengan meningkatnya kes antara guru dan pelajar,” katanya. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *