Ini punca kenapa permaidani Masjidil Haram sentiasa wangi

Bagi mereka yang pernah mengunjungi Kaabah pasti akan menyedari mengenai permaidani di Masjidil Haram yang sentiasa harum walaupun tempat itu tidak pernah lekang dek orang ramai.

Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya terdapat 30,000 permaidani hijau dibentangkan di Makkah dan Masjidil Haram. Jumlah keseluruhan permaidani itu menjangkau hampir 100 kilometer.

Raja Salman, iaitu penjaga kedua-dua Masjid Suci ini sentiasa memastikan kebersihan masjid terbabit untuk keselesaan jemaah yang akan beribadah.

Malah, terdapat sebuah jabatan khas dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan permaidani itu. Permaidani dua masjid suci itu akan melalui lima fasa pembersihan setiap hari di sebuah gudang.

Pada fasa pembersihatan pertama, habuk dan kotoran akan dibersihkan menggunakan mesin canggih. Kemudian, fasa kedua permaidani dicuci dengan sabun dan bahan penghapus jangkitan menggunakan sebuah mesin.

Selepas itu, permaidani itu akan dikeringkan secara automatik menggunakan kelajuan tiga bagi setiap seminit setengah.

Apabila selesai dikeringkan pekerja akan menjemur permaidani itu di bawah terik matahari seharian dan jika musim sejuk ia akan dijemur selama dua hari.

Fasa kelima, permaidani yang telah kering dijemur akan dibersihkan sekali lagi dengan penyapu untuk memastikan tiada habuk dan permaidani itu akan disembur dengan wangian bunga mawar.

Sementara itu, penyelia gudang dan proses mencuci permaidani, Mohammad Al-Otaini memaklumkan gudangnya menerima sebanyak 200 permaidani setiap hari.

Selain itu, 200 gelen air mawar digunakan untuk mewangikan lorong masjid menggunakan peralatan moden. Untuk mengekalkan haruman masjid, enam pembakar kemenyan wangi masjid dipasang antara matahari terbenam dan solat malam. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *