Jangan guna Google Translate jika semata-mata mahu kelihatan bijak

Tular di media sosial sekeping gambar kesalahan penulisan notis Bahasa Inggeris di Pusat Penerangan Pelancongan Perak. Perkara itu telah mendapat kritikan hebat dari netizen.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, tampil mendedahkan kesalahan penulisan itu adalah berpunca dari pengguna ‘Google Translate’ yang dilakukan salah seorang kakitangan yang bertugas di pusat terbabit.

Beliau berkata, kakitangan terbabit menjelaskan pengguna bahasa Inggeris itu dibuat supaya nampak lebih ‘International’.

“Saya hubungi Datuk Bandar mengenai isu ini dan penjelasan awal mendapati kakitangan terbabit guna ‘Google Translate’ supaya mahu ia nampak ‘international’.

“Jadikan ini pengajaran, mana-mana kakitangan sebelum mengeluarkan kenyataan atau apa-apa saja tulisan untuk tatapan awam perlu dimaklumkan kepada ketua masing-masing dulu.

“Jangan memandai dan buat pandai kerana masalah bahasa ini elok ditanya dulu, kalau tak pasti rujuk dahulu kerana Ianya akan menjadi tatapan ramai serta melibatkan imej kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau sering kali mengingatkan segala urusan rasmi kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilakukan dalam Bahasa Malaysia.

Menurutnya, jika masih mahu menggunakan bahasa Inggeris ia perlu ditulis bersama-sama dengan penulisan Bahasa Malaysia.

“Dah berulang kali saya sebutkan ini, segala memo atau sebagainya perlu dilakukan dalam bahasa Malaysia sekiranya mahu dalam Bahasa Inggeris, ia akan ditulis bersama-sama Bahasa Malaysia.

“Perkara ini memang nampak kecil tapi ia merupakan imej kita, tunjuk bagaimana kita tidak serius dalam membuat kenyataan sekali gus mengundang tohmahan-tohmahan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan,” kata beliau.

Apapun, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan ‘Google Translate’ semata-mata mahu kelihatan bijak kerana tidak semua bahasa yang ditukar itu adalah betul dan tepat. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *