Jangan terpedaya dengan skim pelaburan kutu

Terdapat pelbagai cara yang cuba dilakukan sindiket penipuan pelaburan untuk menipu orang ramai untuk melaburkan wang mereka. Sebelum ini, orang ramai sudah mengetahui tentang sindiket penipuan MLM dan pelaburan skim cepat kaya.

Terbaru, terdapat pula sindiket penipuan pelaburan beli emas ala-ala ‘kutu’ sudah semakin tular di media sosial.

Sindiket ini menawarkan pengumpulan wang secara berkumpulan di media sosial khususnya Facebook untuk membeli emas. Tetapi, ia menjadi kesalahan jika pelaburan itu tidak mempunyai dokumen prospektus yang sah untuk menerangkan produk dan risiko pelaburan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk berhati-hati dengan skim pelaburan yang ditawarkan dan mendapat semakan dari agensi penguatkuasaan berkaitan dahulu sebelum menyertai sebarang skim pelaburan untuk mengelakkan menjadi mangsa tipu.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelaskan skim pelaburan membeli emas atau barang kemas ini melibatkan pengumpulan wang secara berkumpulan, ala-ala skim pelaburan kutu.

“Setiap skim pelaburan yang sah mestilah mempunyai dokumen prospektus bagi menerangkan produk dan risiko pelaburan berkaitan skim yang ditawarkan.

“SSM juga ingin memaklumkan bahawa ianya menjadi satu kesalahan jenayah bagi orang perseorangan, perniagaan atau syarikat yang menjalankan perniagaan bercirikan ‘skim pelaburan kutu’,” katanya.

Selain itu, pihak, perniagaan atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, pesalah boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 atau hukuman penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, jika orang ramai mengetahui tentang skim pelaburan ini dan ingin membuat aduan boleh membuat aduan di SSM secara rasmi di aduan@ssm.com.my supaya pihak penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan. –utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *