Jauhkan asap rokok dari keluarga jika tak mampu berhenti hisap

Umum telah sedia maklum tentang bahaya asap rokok, bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga pada orang sekeliling. Kebanyakan bapa perokok tegar sedar tentang bahaya rokok pada keluarga dan anak-anaknya.

Tetapi, masih ramai golongan bapa yang tidak dapat berhenti dari merokok. Memang bukan mudah untuk berhenti hilangkan ketagihan merokok, ia kadang-kadang perlu mengambil masa yang lama untuk menghilangkan ketagihan terbabit.

Namun begitu, tidak bermakna golongan bapa boleh terus merokok di hadapan keluarga dan anak-anaknya. Golongan bapa tegar rokok diharap dapat jauhkan asap rokok dari keluarga jika masih tidak mampu berhenti merokok.

Bagaimanapun, merokok di luar rumah atau berada jauh dari anak-anak dan keluarga masih mempunyai bahayanya. Ini kerana asap rokok itu masih melekat pada baju dan kulit si perokok.

Muhammad Ahmad mendedahkan kesan asap rokok itu boleh melekat di sofa, baju, tangan, badan dan sebagainya. Ia tidak akan hilang melainkan dengan membasuhnya.

“Jika Ayah tidak mampu berhenti merokok, sekurangnya jauhkan asap rokok dari anak,isteri sedang mengandung. Basuh tangan selepas merokok, tukar baju sebelum peluk cium anak(terutama bayi).

“Kesan bahan kimia yang ada dalam asap rokok akan melekat pada langsir,sofa,baju, tangan, gigi(mulut) , badan dan sebagainya. Bahan kimia ini tidak akan hilang kecuali dengan membasuhnya,” jelasnya.

Malah, terdapat pelbagai bahan kimia dalam rokok yang boleh menyebabkan kanser. Selain itu, asap rokok juga boleh menyebabkan keradangan paru-paru kepada bayi dan kanak-kanak.

Terdapat kajian melaporkan asap rokok terhadap kanak-kanak boleh menyebabkan hiperaktif, ganas, tertekan dan mengalami masalah ADHD (attention deficit hyperactivity disorder) serta kematian mengejut (SiDS) terumatanya terhadap bayi.

Selain itu, asap rokok menyebabkan kanak-kanak mengidap asthma dan menghalang fungsi ubat asthma kerana kajian menunjukkan kandungan nikotin dalam rokok boleh menyebabkan ubat asthma tidak memberi kesan 100 % kepada pesakit.

Oleh itu, golongan bapa yang masih tidak dapat berhenti merokok silalah ambil peduli tentang perkara ini. Jauhilah anak-anak dari asap rokok dan jangan dedahkan mereka dengan penyakit di usia yang masih muda kerana asap rokok.-utaranews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *