Kajian Terowong – Adun DAP P.Pinang dedah rasa tak puas hati

Projek mega pembinaan projek terowong dasar laut yang dirancang oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya tidak dipersetujui oleh ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dalam kalangan wakil rakyat DAP sendiri, kata ADUN Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu.

Beliau berkata banyak persoalan yang masih gagal dijawab oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng berhubung projek berkenaan.

“Banyak persoalan yang masih gagal dijawab kerajaan negeri termasuk mengenai status projek pembangunan di atas tanah yang diberikan sebagai bayaran pampasan kepada syarikat perunding, sekiranya projek itu tidak diluluskan Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek terowong dasar laut di Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Sebelum ini, Yee Cheu pernah mendedahkan bahawa beliau telah dipinggirkan selama 4 tahun oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang dan mendakwa beliau langsung tidak diberikan ruang untuk bersuara dalam kerajaan negeri dan parti.

Hal ini berpunca dari ketegasan dan keprihatinan beliau yang disuarakan olehnya kepada kerajaan DAP Pulau Pinang terhadap isu pembangunan di lereng bukit, Pelan Struktur Pulau Pinang dan juga beberapa perkara lain.

Yee Cheu adalah wakil rakyat DAP yang paling lantang menyuarakan isu pembangunan di lereng bukit dan alam sekitar dan beliau jugalah yang bertanggungjawab mengusulkan supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang di beri tempoh perkhidmatan hanya selama dua penggal sahaja.

Sudah diketahui umum bahawa beliau sememangnya tidak sebulu dengan kepimpinan parti dan kerajaan negeri. Akibat tidak tahan lagi dengan cara kepimpinan DAP, Yee Cheu telah mengumumkan akan keluar parti Roket itu sebaik sahaja Parlimen di bubarkan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu, ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad menyelar tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang tetap berdegil mahu meneruskan projek yang banyak mencetuskan kontroversi itu walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat projek terbabit dan menyifatkan ia sebagai bukti kerajaan DAP negeri sememangnya tidak mementingkan dan peduli dengan pandangan rakyat.

“Banyak keraguan yang wujud dalam projek ini dan kita difahamkan kerajaan negeri sudah membayar RM135 juta daripada RM305 juta berkenaan.

“Justeru, adakah akan ada lagi tanah yang akan dijual untuk melunaskan baki keseluruhan kos terbabit?

“Jadi, disebabkan banyak pihak yang meragui projek ini adalah lebih baik menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya. –Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *